PETALING JAYA: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menyifatkan pengumuman Presiden Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), Gianni Infantino, mengenai penganjuran kejohanan sulung Piala ASEAN FIFA, sebagai detik bersejarah buat bola sepak rantau ini.
Menurut Pemangku Presiden FAM, Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi, pengumuman itu bukan sahaja signifikan buat ASEAN, malah amat bermakna bagi Malaysia kerana ia dibuat ketika negara ini menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak ASEAN, yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Pertama sekali, saya bagi pihak FAM amat berbesar hati dan menyambut baik pengumuman yang dibuat oleh Presiden FIFA.
“Ia membawa makna simbolik yang besar terhadap peranan dan komitmen Malaysia dalam memperkukuh perpaduan serta kerjasama serantau melalui bola sepak,” katanya.
Tambah beliau, langkah FIFA memperkenalkan Piala ASEAN itu menjadi lembaran baharu dalam pembangunan dan penyatuan bola sepak Asia Tenggara sekali gus meletakkan rantau ini di bawah satu payung global di bawah badan induk bola sepak dunia tersebut.
“FAM menyifatkan penganjuran Piala ASEAN FIFA ini sebagai satu langkah bersejarah yang membuka peluang besar untuk meningkatkan tahap persaingan antara pasukan-pasukan ASEAN.
“Ia juga memperkukuh hubungan antara negara serantau dalam semangat kesukanan dan persahabatan,” jelas Mohd Yusoff.
Beliau berkata, selain meningkatkan daya saing pasukan, kejohanan ini juga bakal membantu mempertingkat mutu pertandingan kerana penganjurannya di bawah kalendar rasmi FIFA, sekali gus membolehkan penyertaan pemain-pemain utama setiap negara.
Mohd Yusoff menegaskan, FAM percaya dengan sokongan padu semua negara anggota serta kepimpinan FIFA, kejohanan ini akan menjadi simbol kebangkitan bola sepak ASEAN di pentas dunia.
“Kami yakin dengan semangat kerjasama dan kesatuan yang tinggi, Piala ASEAN FIFA akan menjadi medan terbaik mempamerkan kekuatan sebenar bola sepak rantau ini,” katanya.
Bagaimanapun, beliau menjelaskan bahawa penganjuran Piala ASEAN FIFA masih di peringkat perbincangan awal, namun yakin akan ada rundingan lanjut dan komprehensif dalam masa terdekat.
“Apa pun, kita berharap penganjuran ini dapat direalisasikan demi kemajuan bola sepak ASEAN dan menjadi pemangkin kepada pertumbuhan bola sepak di peringkat global,” ujarnya. – UTUSAN






