LONDON: Pengurus Arsenal, Mikel Arteta percaya penyerangnya, Viktor Gyokeres sudah mula menemui rentak sebenar selepas meledak dua gol ketika The Gunners menang 4-0 ke atas Atletico Madrid, semalam.
Arteta berkata, perlawanan Liga Juara-Juara menentang Atletico itu mungkin menjadi permulaan kepada aksi cemerlang Gyokeres selepas menamatkan kemarau jaringan bersama Arsenal selepas tujuh perlawanan.
Selepas menjaringkan tiga gol dalam empat perlawanan pertamanya, Gyokeres yang dibeli pada harga 64 juta pound (RM389 juta) gagal menjaringkan sebarang gol dalam tujuh perlawanan berikutnya.
Selepas kembali menemui sentuhan penyudah dalam kemenangan besar ke atas Atletico, semalam, jumlah jaringan Gyokeres kini meningkat kepada lima gol dalam 12 perlawanan, dan pengurusnya percaya dua gol itu menjadi ganjaran atas ketekunannya.
“Dia memang layak kerana semua yang kami lihat daripadanya apa yang dibawa kepada pasukan dan bagaimana dia membantu dalam pelbagai aspek selain menjaringkan gol sejak beberapa minggu lalu tidak pernah dipertikaikan.
“Ia lebih kepada mengekalkan keyakinan terhadap dirinya, memastikan keadaan emosinya tenang supaya dia boleh menikmati permainan dan bermain dengan bebas.
“Saya rasa dia berjaya melakukannya hari ini lihat senyumannya. Dan lihat juga rakan sepasukannya, dalam gambar dan video, semuanya gembira untuknya kerana dia benar-benar layak,” kata Arteta.
Gyokeres turut didorong ke hadapan oleh rakan sepasukan untuk menerima sorakan penyokong dan melakukan aksi meraikan jaringan ikoniknya seorang diri simbolik kepada semangat kekeluargaan dalam skuad Arsenal.
Arteta berkata, tindakan itu menunjukkan penghargaan pemain lain terhadap impak Gyokeres yang banyak memperkukuh pasukan.
“Kami semua menghargainya kerana dia menjadikan pasukan kami jauh lebih baik. Saya rasa kami kini lebih sukar dijangka. Dia sangat kuat secara fizikal, membuka ruang untuk semua pemain lain. Cara dia menekan dan menahan bola memang luar biasa.
“Dan akhirnya, perkara paling manis yang akan sering dibincangkan tentang dirinya adalah jaringan. Hari ini dia menjaringkan dua gol yang sangat berbeza, dan diharap ini menjadi permulaan kepada rentak jaringan yang berterusan,” kata Arteta. – AGENSI/UTUSAN






