PETALING JAYA: Lima tokoh sukan tanah air dilantik menganggotai jawatankuasa penting Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) bagi penggal 2025–2029.
Presiden Kehormat Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Tan Sri Hamidin Mohd Amin yang turut memegang jawatan sebagai Ahli Majlis FIFA antara yang dilantik ke jawatankuasa itu.
Hamidin kini diberi kepercayaan baharu sebagai Delegasi Jawatankuasa Media dan Komunikasi FIFA, satu portfolio penting dalam mengurus strategi komunikasi global badan induk bola sepak dunia itu.
Sementara itu, Timbalan Presiden FAM, Datuk S. Sivasundaram dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa Teknologi dan Pembangunan Teknikal, Inovasi dan Transformasi FIFA.
Turut menerima pengiktirafan ialah Pengerusi Jawatankuasa Bola Sepak Wanita FAM, Datuk Suraya Yaacob, yang kini menjadi Ahli Jawatankuasa Pertandingan Pasukan Wanita Kebangsaan FIFA, sekali gus membuka ruang lebih luas untuk pembangunan bola sepak wanita negara di peringkat antarabangsa.
Dalam pada itu, Setiausaha Agung Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), Datuk Seri Windsor Paul John, kekal sebagai wakil Malaysia dalam Kumpulan Koordinasi Konfederasi FIFA, manakala Dr. Gurcharan Singh meneruskan peranan beliau sebagai Ahli Jawatankuasa Perubatan FIFA.
Berdasarkan senarai rasmi ahli jawatankuasa FIFA yang dikemas kini baru-baru ini, pelantikan berkenaan jelas mengiktiraf peranan Malaysia sebagai antara negara yang aktif dalam urus tadbir bola sepak dunia.
Langkah itu turut memperkukuh pengaruh Malaysia dalam pelbagai cabang pengurusan bola sepak antarabangsa, meliputi bidang komunikasi, pembangunan teknikal, perubatan, etika serta transformasi sukan global.
Pelantikan ini juga membuktikan bahawa Malaysia tidak lagi sekadar pemerhati di pentas bola sepak dunia, sebaliknya menjadi sebahagian daripada kumpulan pemikir dan pembuat dasar yang menentukan hala tuju masa depan sukan No.1 dunia itu.
Ia adalah satu pengiktirafan besar terhadap kemampuan, kredibiliti dan keupayaan tokoh bola sepak negara yang kini membawa nama Malaysia ke meja pentadbiran tertinggi FIFA suatu pencapaian yang wajar menjadi kebanggaan seluruh rakyat dan peminat sukan tanah air. – UTUSAN






