PETALING JAYA: Ketua jurulatih berbasikal trek negara, Harnizam Basri mengakui kecewa apabila kecederaan lutut kanan dialami jaguh pecut negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom hanya dikenal pasti selepas hampir setahun menanggung kesakitan.
Menurut Harnizam, hasil imbasan kamera mendapati tulang rawan (cartilage) di bahagian lutut pelumba kelahiran Muar itu sebenarnya retak halus iaitu hanya sebesar sehelai rambut dan keadaan itu langsung tidak dapat dikesan sebelum ini.
“Saya frust (kecewa) juga sebab saya buang masa tujuh bulan. Kita dah buat pelbagai rawatan tapi tak tahu punca sebenar, sampai bila masuk kamera baru nampak ada retakan halus pada cartilage (tulang rawan).
“Sekurang-kurangnya sekarang kita sudah tahu masalah sebenar dan boleh fokus pada pemulihan, tapi sayang sebab masa banyak terbuang,” kata Harnizam.
Kecederaan lutut kanan Shah dipercayai berpunca daripada insiden terjatuh di dalam aksi final keirin Sukan Olimpik Paris 2024 selepas dirempuh pelumba Jepun, Shinji Nakano yang mana memberi hentakan kuat pada bahagian lutut, sekali gus menjejaskan prestasinya dalam beberapa siri kejohanan selepas itu.
Shah terus menahan kesakitan ketika menyertai Kejohanan Asia (ACC) 2025 di Nilai pada Februari, diikuti Piala Negara-Negara UCI di Konya, Turkiye yang menyaksikan dia tetap memenangi emas acara keirin.
Malah, pelumba berusia 30 tahun itu masih meneruskan latihan serta siri perlumbaan di Jerman sepanjang Jun hingga Julai, biarpun kesakitan lututnya tidak pernah reda.
Terdahulu, Nexbyte melaporkan Shah menjalani rawatan sel stem selepas prosedur Platelet Rich Plasma (PRP) pada September gagal memberikan kesan sepenuhnya dan kesakitan masih dirasai.
Kecederaan itu memaksa Shah diketepikan daripada skuad ke Sukan SEA Thailand 2025 serta Kejohanan Berbasikal Trek Dunia di Santiago, Chile pada 22 Oktober ini.
Bagaimanapun, Harnizam kini menarik nafas lega apabila Shah menjalani pembedahan lutut kira-kira tiga minggu lalu dan kini berada dalam fasa awal pemulihan di bawah pemantauan Institut Sukan Negara (ISN).
“Dia baru dua minggu selepas pembedahan. Mungkin dua minggu lagi baru boleh mula kayuh semula basikal,” katanya. – UTUSAN




