MANCHESTER: Jurulatih Manchester City, Pep Guardiola berkeyakinan penuh terhadap pasukannya apabila tiada pemain yang dilaporkan mendapatkan kecederaan baharu menjelang aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) menentang Brentford, hari ini.
City yang sebelum ini beraksi dalam kempen Liga Juara-Juara, Rabu lalu menyaksikan mereka mencatat keputusan seri 2-2 menentang Monaco dengan kedua-dua jaringan pasukan dilakukan oleh Erling Haaland.
Rodri yang terlepas perlawanan ketika membelasah Burnley 5-1 akibat kecederaan turut kembali beraksi dalam kejohanan tertinggi di Eropah itu selepas bermain selama satu jam menentang kelab Ligue 1 itu.
“Kami menjalani latihan petang ini (kelmarin) tetapi setakat ini semuanya nampak baik, tiada siapa yang mengalami sebarang masalah,” kata Guardiola.
Namun, Guardiola mengakui dia perlu menunggu sehingga musim depan untuk melihat prestasi terbaik Rodri memandangkan pemain tengah Sepanyol itu masih dalam proses menyesuaikan diri selepas menjalani pembedahan lutut.
“Rodri adalah pemain yang luar biasa, semua orang tahu itu. Mungkin dia bergelut untuk faham bahawa ini bukan tentang enam bulan atau 12 bulan, Rodri yang terbaik akan muncul di Piala Dunia dan musim depan.
“Tahun ini adalah tentang bagaimana untuk menguruskan keadaan. Dia telah berehat selama setahun. Badan berubah, rentak permainan berubah, ini hanya soal masa, jika dia sihat, dia akan kembali,” katanya.
City mengalami musim tanpa trofi buat kali pertama dalam tempoh lapan tahun pada musim lalu dan Guardiola berasa lebih bersemangat dengan kemajuan pasukannya selepas memperbaharui skuad dengan beberapa pemain muda.
“Perkara yang paling menggembirakan saya ialah bagaimana kami telah meningkat. Saya suka perasaan itu dan saya rasa kami masih boleh jadi lebih baik.
“Itu perasaan yang saya suka sebagai pengurus. Perasaan bahawa kami sedang membina semula, tempo, rentak permainan. Segalanya kini lebih lancar dan konsisten. Tapi kami masih boleh jadi lebih baik, dan saya suka itu,” katanya. – AGENSI/UTUSAN






