LONDON: Pengendali Arsenal, Mikel Arteta percaya barisan pemainnya sudah cukup matang mempamerkan ‘watak juara’ ketika membenam Bayern Munich 3-1 dalam aksi Liga Juara-Juara, semalam.
The Gunners kini mencatat lima kemenangan daripada lima perlawanan Liga Juara-Juara dan mereka berada dalam landasan terbaik untuk mara secara automatik ke pusingan 16 terbaik.
Skuad kendalian Arteta berada tiga mata di depan kumpulan pencabar termasuk pendahulu Bundesliga, Bayern, yang tiba di London dengan rekod empat kemenangan daripada empat perlawanan.
“Saya perlu memuji pemain-pemain kami kerana saya rasa mereka beraksi luar biasa menentang pasukan terbaik di Eropah. Secara individu, kami sangat hebat mengatasi semua cabaran yang mereka berikan.
“Kami tahu jurangnya sangat kecil. Kami mulakan minggu ini dengan baik menewaskan Spurs 4-1 di sini. Hari ini satu lagi kemenangan besar, tapi ia tidak berakhir di sini, kami akan mula bersiap untuk ke Stamford Bridge (menentang Chelsea),” kata Arteta.
Arteta berkata, penting untuk segera mengesahkan tempat ke pusingan 16, namun mengingatkan barisan pemainnya bahawa masih banyak cabaran sukar menanti.
“Tenaga yang kami cipta di stadium, apa yang pasukan sampaikan, tenaga dan kualiti permainan, ia luar biasa dan kami perlu kekalkan semua itu kerana musim ini masih sangat awal,” katanya. – AGENSI/UTUSAN






