LONDON: Pengurus Arsenal Mikel Arteta mengakui Chelsea yang berada di tempat kedua layak dianggap pencabar gelaran Liga Perdana ketika beliau mempersiapkan pasukannya bagi perlawanan esok di Stamford Bridge.
Skuad Arteta agak selesa dengan mengumpul enam mata di hadapan Blues di tempat kedua selepas mengharungi 12 perlawanan musim ini.
Mereka berada dalam mood terbaik selepas kemenangan 4-1 ke atas musuh ketat, Tottenham yang disusuli kemenangan 3-1 ke atas gergasi Jerman, Bayern Munich dalam Liga Juara-Juara.
Chelsea juga berada pada prestasi meningkat selepas tiga kemenangan berturut-turut dalam liga dan kemenangan besar 3-0 ke atas Barcelona, Selasa lalu.
Walaupun prestasi mereka cemerlang, pasukan muda Chelsea kendalian Enzo Maresca masih dianggap sebagai pasukan luar untuk memenangi gelaran Liga Perdana.
Namun, Arteta tidak memandang rendah lawannya, yang memenangi Liga Persidangan UEFA dan Piala Dunia Kelab musim lalu.
“Saya rasa kami semua berada di sana dan mereka (Chelsea) berada di situ kerana mereka sangat layak.
“Apa yang mereka lakukan dalam beberapa tahun kebelakangan ini, saya fikir skuad yang mereka bina, angka yang mereka ada, kualiti yang mereka miliki, bilangan jurulatih yang mereka ada, semuanya masuk akal dan apa yang berlaku di sana sangat, sangat positif dan mereka layak berada di situ,” katanya.
Bekas pemain tengah Arsenal dan Sepanyol itu berkata, Chelsea adalah antara pasukan yang paling beliau gemari untuk ditonton.
“Mereka mempunyai persefahaman, mereka sangat berbahaya, mereka mempunyai banyak bakat individu, mereka sangat jelas dengan apa yang mereka mahu lakukan dan sebab itulah mereka sangat sukar.
“Sudah tentu ini perlawanan besar, derby London yang besar. Kami akan berdepan lawan yang sangat, sangat bagus. Mereka berada dalam prestasi yang sangat baik dan kami tahu cabarannya, kami juga tahu peluang yang kami ada pada Ahad nanti, jadi kami benar-benar bersedia,” ujarnya. – AFP/UTUSAN






