LONDON: Hatrik Eberechi Eze ketika Arsenal membenam Tottenham 4-1 dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL), semalam membuktikan pembeliannya dengan harga 60 juta pound (RM326 juta) adalah berbaloi.
Kemenangan itu juga mengukuhkan kedudukan The Gunners di puncak liga dengan kelebihan enam mata mengatasi Chelsea di tangga kedua manakala Manchester City di kedudukan ketiga dengan 22 mata.
Eze yang dibawa masuk pada hari terakhir perpindahan daripada Crystal Palace sebelum ini hanya menjaringkan satu gol liga sejak tiba di Emirates, namun memilih pentas paling besar untuk membuktikan potensinya kepada penyokong Arsenal.
Pemain tengah England itu mempamerkan penyudah klinikal apabila meledak dua gol di luar kotak penalti pada kedua-dua babak sebelum melengkapkan hatrik pada minit ke-76, menewaskan Guglielmo Vicario buat kali ketiga.
Arsenal sebenarnya sudah pun memiliki banyak pilihan di bahagian tengah dan serangan, namun persembahan luar biasa Eze membuka mata pengurus, Mikel Arteta, pemain itu mampu menjadi kunci utama dalam sistem serangannya.
“Semua terjadi dengan sebab. Selepas tugasan antarabangsa, dia diberi dua hari cuti tetapi sehari selepas itu dia sudah mahu berlatih. Dia buat latihan tambahan, banyak bertanya. Bila pemain ada bakat dan keinginan seperti itu, hasilnya begini.
“Saya sangat gembira untuknya. Sejak hari pertama dia tiba, dia membawa aura yang kami perlukan di bahagian hadapan dan dia memiliki setiap jawapan yang diinginkan,” kata Arteta.
Dengan dua gol bersama England pada Oktober dan November, Eze kini berada pada landasan tepat untuk tersenarai dalam skuad Thomas Tuchel ke Piala Dunia 2026.
Andai mengekalkan prestasi seperti ketika menentang Spurs, dia berpotensi ke Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico sebagai juara Liga Perdana.
“Dia ada kemampuan memenangi perlawanan bila-bila masa. Kami perlu mainkan dia lebih dekat dengan kotak penalti kerana di situlah kekuatannya,” tambah Arteta.
Kemenangan besar itu juga menjadi reaksi sempurna selepas Arsenal kehilangan dua mata ketika diikat Sunderland sebelum rehat antarabangsa.
Ketika Liverpool dan Manchester City masing-masing bergelut dalam aksi liga minggu ini, Arsenal kini dilihat sebagai pilihan utama merangkul gelaran pertama sejak 2003-04.
Namun, Arteta enggan terlalu yakin dan mahu anak buahnya memberi tumpuan dalam setiap aksi agar tidak tercicir mata yang berisiko menjejaskan peluang kelab di hujung saingan.
“Ini permulaan baik untuk kembalikan momentum. Tetapi, enam mata bukan jurang besar dalam liga seperti ini. Kami perlu terus konsisten,” katanya. – AGENSI/UTUSAN
CAPTION
Pemain tengan Arsenal, Eberechi Eze (kiri) meraikan jaringan gol menentang Tottenham Hotspur dalam saingan Liga Perdana Inggeris di Stadium Emirates, London, semalam. – AFP






