PETALING JAYA: Pertukaran pendahulu hampir setiap minggu membuktikan betapa sengitnya saingan Liga A1 musim ini, apabila tujuh pasukan teratas hanya dipisahkan dengan jurang mata yang amat kecil.
Ketika ini, Selangor 2 mendahului carta liga dengan 20 mata, namun kelebihan itu amat tipis apabila Johor Darul Ta’zim (JDT) II berada di tangga kedua hanya satu mata di belakang.
Di tempat ketiga pula, Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) kekal dalam kelompok teratas selepas mengumpul 18 mata, diikuti Perak dan Kelantan WTS yang masing-masing mengutip 17 mata untuk menghuni tangga keempat dan kelima.
Saingan di pertengahan liga juga tidak kurang hebat apabila Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan UM-Damansara United berkongsi kedudukan keenam serta ketujuh dengan kutipan 16 mata, menjadikan perebutan posisi teratas semakin terbuka.
Pemerhati bola sepak tempatan, Rudie Ramli menyifatkan keunikan Liga A1 musim ini ialah tiada pasukan yang benar-benar dominan, sebaliknya kedudukan teratas kerap bertukar tangan dari minggu ke minggu.
“Kalau kita lihat pendahulu liga sentiasa bertukar, boleh dikatakan hampir setiap minggu. Perbezaan mata antara pasukan teratas dan pasukan di tangga ketujuh pun tidak jauh.
“Ini menunjukkan tiada pasukan yang mendominasi dan persaingan juga sangat sengit antara setiap pasukan. Untuk kita menjangkakan siapa bakal juara, saya fikir ia hanya akan ditentukan pada perlawanan terakhir,” kata Rudie yang juga bekas pemain kebangsaan kepada Nexbyte.
Dalam masa sama, Rudie berharap penganjuran Liga A1 tahun ini bebas daripada sebarang isu yang boleh mencemarkan imej liga, termasuk masalah kewangan dan tunggakan gaji yang pernah menghantui beberapa pasukan sebelum ini.
“Apa saya harapkan, isu-isu negatif tidak timbul bagi mengelakkan imej liga tercalar. Jika dulu ada tunggakan gaji dan sebagainya, harap perkara itu tidak berlaku dalam saingan kali ini,” ujarnya.
Liga A1 musim ini menyaksikan 16 pasukan bertanding dengan menyaksikan empat pasukan sokongan daripada kelab Liga Super turut bersaingan di saingan berkenaan.
Dengan baki perlawanan yang semakin berkurangan, semua pasukan dilihat perlu mengekalkan fokus dan konsistensi andai mahu merebut kejuaraan Liga A1 yang kini menjadi rebutan terbuka. – UTUSAN





