LONDON: Cole Palmer cergas untuk memulakan perlawanan kemuncak Chelsea menentang pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL), Arsenal esok selepas lebih dua bulan diketepikan.
Penyerang England itu tidak beraksi untuk kelab sejak 20 September pada awalnya terlepas aksi akibat masalah pangkal paha sebelum mengalami patah jari kaki.
Pengurus The Blues, Enzo Maresca memberitahu sidang media praperlawanan bahawa Palmer cukup cergas untuk bermain dari awal dalam perlawanan esok di Stamford Bridge.
Kemenangan untuk Chelsea yang berada di tangga kedua akan merapatkan jurang kepada hanya tiga mata di belakang Arsenal di puncak Liga Perdana.
“Semua orang gembira, rakan sepasukannya gembira, kami semua gembira dan yang paling penting Cole gembira kerana akhirnya pemain bola sepak mahu bermain,” kata pengurus Chelsea itu.
Palmer, 23, merupakan penjaring terbanyak Chelsea dalam Liga Perdana musim lalu dengan 15 gol.
Dia hanya membuat empat penampilan dalam semua pertandingan untuk kelab musim ini, menjaringkan dua gol.
“Dia mungkin pemain terbaik kami. Kami gembira dia kembali. Sekarang kami perlu beri dia masa untuk kembali cergas 100 peratus.
“Tetapi dia telah melakukan sesuatu yang hebat sebelum ini dan tidak syak lagi dia akan beraksi dengan sangat baik untuk kelab ini pada masa depan,” kata Maresca
Bintang muda Brazil, Estevao, menjaringkan gol solo yang menakjubkan dalam kemenangan 3-0 Chelsea ke atas Barcelona dalam Liga Juara-Juara, Selasa lalu, sekali lagi mengukuhkan reputasinya.
Maresca mengakui tindakan menggandingkan Palmer dengan Estevao, 18, adalah prospek yang mengujakan.
“Bergantung kepada pasukan mana yang kami hadapi, bergantung sedikit kepada perancangan permainan, tetapi yang pasti para peminat teruja untuk melihat mereka bermain bersama.
“Kami juga teruja, sambil memikirkan bahawa akhirnya kami sentiasa perlu ada keseimbangan,” katanya.
Maresca yang memenangi Liga Konferens UEFA dan Piala Dunia Kelab musim lalu dalam kempen pertamanya bersama Chelsea berkata, pasukannya telah menunjukkan kemajuan sepanjang tahun lalu tetapi masih terlalu awal untuk meramalkan cabaran kejuaraan.
“Sudah tentu keadaan berbeza berbanding setahun lalu, dan itu kerana kami telah bersama selama setahun lagi. Kami melalui detik-detik yang kami boleh belajar daripadanya. Tetapi bagi saya, masih terlalu awal.
“Kita masih berada di penghujung November, Disember, jadi masih terlalu awal dan adalah penting untuk berada di kedudukan yang baik pada Mac, April dan kemudian kita lihat,” ujarnya. – AFP/UTUSAN






