BRUGES, Belgium: Mikel Arteta menyifatkan kemenangan 3-0 Arsenal ke atas Club Brugge dalam aksi Liga Juara-Juara semalam sebagai bukti ketahanan mental dan karakter sebenar pasukan, biarpun turun dengan skuad pincang akibat deretan kecederaan.
Menurut ketua jurulatih itu, prestasi berdisiplin dan keyakinan tinggi dipamerkan anak buahnya jelas menunjukkan Arsenal tidak mudah goyah meskipun kehilangan beberapa tonggak utama.
“Bermain UCL di tempat lawan tanpa sebahagian besar pemain bukan tugasan mudah. Saya beritahu mereka, inilah masanya untuk tunjukkan keinginan, ketahanan dan persiapan yang rapi,” katanya.
Arteta turut memuji contoh profesionalisme dipamerkan pemain seperti Christian Norgaard yang disifatkannya sebagai antara individu paling bersedia dalam skuad ketika ini.
“Ia tentang menunjukkan keinginan yang tinggi, ketahanan dan persiapan, dan saya fikir Norgaard, yang mungkin pemain paling bersedia di antara mereka semua,” katanya.
Noni Madueke melepaskan rembatan hebat dari jarak jauh untuk memberi kelebihan pada separuh masa buat Gunners, sebelum menanduk dari jarak dekat sebaik babak kedua bermula.
Penyerang Brazil, Gabriel Martinelli menambah gol ketiga apabila memotong dari sebelah kiri dan melepaskan rembatan lengkungan dengan kaki kanan dari luar kotak penalti dan bersaing dengan Madueke bagi gol terbaik malam itu.
Kemenangan tersebut bukan sahaja meneruskan rekod sempurna enam perlawanan Arsenal dalam saingan peringkat liga, malah mengukuhkan cengkaman mereka di tangga teratas menjelang pusingan 16 terbaik.
Arsenal, yang baru sahaja tersadung dalam aksi Liga Perdana Inggeris selepas tewas 1-2 kepada Aston Villa minggu lalu, bangkit dengan aksi meyakinkan sekaligus menghantar mesej bahawa cabaran kecederaan tidak mampu mengekang misi mereka memburu dominasi Eropah. – AGENSI/UTUSAN






