LONDON: Kemenangan 2-1 Arsenal ke atas Wolves dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) semalam tidak mampu menutup rasa tidak puas hati pengendali The Gunners, Mikel Arteta yang menyifatkan pemain terlalu pasif.
Arsenal seakan mendapat tuah apabila dua gol sendiri Wolves menghadiahkan tiga mata penuh, termasuk jaringan dramatik pada minit ke-94, namun Arteta jelas tidak terhibur dengan cara pasukannya hampir mensia-siakan kelebihan itu.
Gol penyamaan Wolves pada minit ke-90 hasil tandukan Tolu Arokodare menjadi pencetus kemarahan pengendali Sepanyol itu, yang mengkritik sikap pasif serta tabiat defensif yang longgar dalam blok pertahanan Arsenal.
“Saya tidak melihat ini sebagai soal ketahanan. Kami sepatutnya menghentikan ancaman itu lebih awal.
“Cara kami membenarkan gol tersebut berlaku adalah kesalahan kami sendiri dan ia tidak boleh diterima,” tegasnya.
Walaupun mengakui Wolves memberi tekanan hebat dengan menghantar ramai pemain ke hadapan, Arteta menegaskan, masalah utama bukan keputusan untuk bertahan, tetapi tahap intensiti dan disiplin yang gagal dipamerkan pemainnya.
“Ada masa kamu perlu bertahan dalam. Itu normal. Tetapi apa yang kami tunjukkan dari segi aktiviti dan reaksi dalam blok pertahanan itu tidak cukup baik,” katanya.
Selain isu pertahanan, Arteta turut kecewa dengan ketumpulan jentera serangan pada separuh masa pertama apabila Arsenal gagal menghasilkan sebarang percubaan tepat ke gawang lawan yang dilihatnya pertama kali berlaku musim ini.
Peluang keemasan Gabriel Martinelli dari jarak dua ela turut disia-siakan, sekali gus memaksa Arsenal bergantung kepada kesilapan lawan untuk mencipta gol.
Namun di sebalik persembahan yang tidak meyakinkan, Arsenal kekal di puncak Liga Perdana Inggeris dengan kelebihan lima mata, satu hakikat yang mungkin melegakan penyokong, tetapi jelas belum cukup untuk memuaskan hati Arteta. – AGENSI/UTUSAN






