MANCHESTER: Pengurus Manchester City, Pep Guardiola menyifatkan Phil Foden sebagai tonggak utama kebangkitan pasukannya selepas pemain muda sensasi itu mempamerkan aksi cemerlang dalam kemenangan dramatik 3-2 ke atas Leeds United di Stadium Etihad, semalam.
Guardiola berkata, Foden terus menunjukkan kematangan luar biasa musim ini, malah menyamakan kemampuan teknikalnya dengan pemain-pemain hebat yang pernah dibimbing ketika mengendalikan Barcelona.
“Sepanjang musim, dia berada pada tahap terbaik. Cara dia tiba di kotak penalti, kawalan bola, rembatan.
“Ia juga mengingatkan saya kepada pemain bertaraf dunia yang pernah saya latih dahulu,” katanya.
City bangkit selepas dua kekalahan berturut-turut, dan Guardiola mengakui skuadnya turun dengan tekad tinggi untuk membetulkan rentak.
“Para pemain tahu mereka perlu memberi reaksi selepas keputusan-keputusan sebelum ini. Mereka beraksi dengan penuh disiplin dan karakter,” ujarnya.
Guardiola turut menegaskan kemenangan ke atas Leeds bukan hasil individu semata-mata, namun beliau tidak menafikan Foden menjadi pemangkin utama intensiti permainan City.
“Kami bukan hanya bergantung pada seorang pemain. Tetapi Foden memberi perbezaan ketara hari ini. Dia berlari, mencipta peluang dan bekerja keras tanpa bola. Usahanya luar biasa,” katanya. – AGENSI/UTUSAN






