LONDON: Pengurus Arsenal, Mikel Arteta menyifatkan kemenangan sepatutnya memihak kepada pasukannya meskipun terpaksa menurunkan skuad ‘tempang’ berikutan masalah kecederaan.
The Gunners yang dilanda kecederaan melibatkan pertahanan tengah yang cedera, William Saliba dan Gabriel Magalhaes sekali gus tidak dapat diturunkan buat pertama kali musim ini.
Martin Odegaard dan Viktor Gyokeres pula hanya cukup cergas untuk berada di bangku simpanan manakala Leandro Trossard tidak dapat diturunkan kerana kecederaan.
“Hari ini (semalam) kami terpaksa bermain dengan gandingan yang belum pernah dimainkan sebelum ini dalam perlawanan yang sangat sukar.
“Pasukan terpaksa bertindak balas terhadap itu. Ini minggu yang positif kerana kesukaran sangat tinggi. Tetapi saya rasa hari ini kami sepatutnya menang perlawanan, dan kami tidak,” kata Arteta.
Pada aksi di Stamford Bridge tandukan Mikel Merino pada minit ke-59 memadam gol awal Chelsea yang diledak oleh Trevoh Chalobah pada minit ke-48, sekali gus memastikan Arsenal meraih satu mata untuk mengikat tuan rumah 1-1 yang mengakhiri perlawanan dengan 10 pemain.
Arsenal memiliki kelebihan selepas pemain Chelsea, Moises Caicedo dilayangkan kad merah pada minit ke-38 namun tanpa beberapa tonggak utama The Gunners gagal mengancam seperti mana mereka mencatat kemenangan 4-1 ke atas seteru utara London, Tottenham, dan diikuti menewaskan Bayern Munich 3-1 dalam Liga Juara-Juara Eropah pada Rabu.
Dalam usaha mengejar gelaran Inggeris pertama sejak tahun 2004, Arsenal tidak mampu kehilangan Saliba untuk jangka masa panjang.
Pertahanan tengah Perancis itu tidak diturunkan selepas cedera semasa latihan dan akan dinilai semula menjelang perlawanan pada Rabu ini menentang Brentford. – AGENSI/UTUSAN






