LONDON: Arsenal berisiko sekali lagi terlepas gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL) sekiranya pemain gagal mengekalkan konsistensi dalam perlawanan akan datang.
Perkara itu diakui pengurusnya, Mikel Arteta selepas The Gunners yang juga pendahulu liga tumbang mengejut 2-3 kepada Manchester United di laman sendiri, semalam.
“Jurangnya amat kecil (perbezaan mata) dan kami sendiri menjadikannya lebih kecil. Sekarang kami perlu bertindak balas dan melihat siapa diri kami sebenarnya.
“Hari ini kami tidak berada pada tahap terbaik dan kami dihukum kerananya. Kami benar-benar mensia-siakan peluang untuk menjarakkan kedudukan dengan pesaing terdekat.
“Kami menghadiahkan mereka (United) satu gol yang jarang berlaku dan menyakitkan kemudian mereka pula menjaringkan dua gol hebat. Kami tidak berada pada prestasi terbaik.
“Dalam 30 minit pertama kami menguasai permainan dan menjaringkan gol, tetapi selepas itu kami kerap hilang bola dan kawalan, lalu perlawanan menjadi kucar-kacir,” kata Arteta.
Ketika ini, Arsenal mendahului liga dengan 50 mata, dibezakan empat mata dengan Manchester City dan Aston Villa yang berada di tangga kedua dan ketiga.
Ia adalah kekalahan pertama Arsenal dalam 13 perlawanan terakhir bagi semua pertandingan sejak tewas kepada Aston Villa pada Disember lalu.
The Gunners juga tewas di laman sendiri buat kali pertama dalam 18 perlawanan semua pertandingan sejak kalah kepada Bournemouth pada Mei.
“Pemain sudah memberikan begitu banyak kegembiraan dan persembahan hebat kepada kami, mereka layak diingatkan betapa bagusnya mereka.
“Kami perlu belajar daripadanya. Kekalahan adalah sebahagian daripada kemenangan dan anda perlu menerimanya, sambil mengingatkan pemain mengenai kualiti mereka. Apabila seri atau kalah, ketika itulah kebersamaan dan kesatuan pasukan perlu ditunjukkan.
“Untuk berada di tahap yang kami sasarkan, kekalahan adalah sebahagian daripada proses itu, sama seperti mana-mana pasukan lain,” kata Arteta. – AGENSI/UTUSAN






