MILAN: Pemain Arsenal membuktikan mereka cukup matang mengatasi tekanan ketika membenam Inter Milan 3-1 sekali gus meneruskan rekod sempurna tujuh kemenangan berturut-turut di Liga Juara-Juara Eropah.
Dalam aksi berkenaan, skuad kendalian Mikel Arteta meraih dua gol menerusi Gabriel Jesus pada separuh masa pertama sebelum Viktor Gyokeres melengkapkan kemenangan.
Kemenangan itu membolehkan Arsenal menerajui Liga Juara-Juara Eropah dengan 21 mata, enam mata di hadapan Bayern Munich yang dijadual menentang Union Saint-Gilloise.
“Saya sangat berbangga dengan pasukan, sebelum perlawanan saya mengatakan pasukan perlu pamerkan persembahan istimewa dan pemain membuktikannya dengan kemenangan bergaya ke atas Inter Milan.
“Kami menaikkan tahap permainan dan melakukannya di San Siro menentang antara pasukan terbaik Eropah adalah sesuatu yang luar biasa, ini juga membuktikan pemain sudah cukup matang,” kata Arteta.
Sementara itu, Arteta turut memuji aksi yang dipamerkan Jesus selepas penyerang kelahiran Brazil itu menyumbang dua gol dalam aksi pertama Liga Juara-Juara Eropah, musim ini.
“Dia pemain yang luar biasa dan semakin besar perlawanan, semakin selesa dia beraksi di posisi serangan. Dia layak dinobatkan sebagai pemain terbaik perlawanan,” tambah Arteta mengenai Jesus.
Naib juara musim lalu, Inter, kekal dengan 12 mata selepas kekalahan ketiga berturut-turut dan jatuh ke tangga kesembilan, sekali gus berdepan risiko gagal meraih slot automatik ke pusingan 16 terbaik.- AGENSI/UTUSAN






