MANCHESTER: Erling Haaland menamatkan penantian 10 perlawanan tanpa gol daripada permainan terbuka apabila Manchester City menewaskan Galatasaray 2-0, semalam, sekali gus mengesahkan tempat ke pusingan 16 terbaik Liga Juara-Juara (UCL).
Rayan Cherki turut mencetak nama sebagai penjaring buat skuad kendalian Pep Guardiola yang memanfaatkan keputusan perlawanan lain untuk berada di kelompok lapan terbaik dan mengelak pusingan play-off yang berisiko bulan depan.
“Dengan sedikit drama, kami berjaya. Dengan jadual padat dan jumlah kecederaan yang kami hadapi ketika ini, dua minggu penuh untuk membuat persiapan, memulihkan pemain dan memberi fokus kepada kejohanan lain sangat membantu,” kata kapten City, Bernardo Silva.
City sedar bahaya pusingan play-off selepas tersingkir pada peringkat itu di tangan Real Madrid, 12 bulan lalu.
Seminggu selepas kekalahan memalukan kepada Bodo/Glimt yang hampir menjejaskan kedudukan mereka dalam kelompok lapan terbaik, City bangkit memperbaiki keadaan menentang Galatasaray.
Haaland yang diletakkan di bangku simpanan oleh Guardiola buat kali pertama dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini ketika kemenangan 2-0 ke atas Wolves, Sabtu lalu.
Gol penalti menentang Brighton pada 27 Disember menjadi satu-satunya jaringan pemain Norway itu sebelum kembali menemui sentuhan gol dari permainan terbuka dalam perlawanan ini.
Bagaimanapun, Haaland langsung tidak menunjukkan tanda kurang yakin apabila dia tenang melakukan lambungan bola melepasi penjaga gol Galatasaray, Ugurcan Cakir hasil hantaran cantik Jeremy Doku.
Doku sekali lagi mencipta peranan untuk gol kedua apabila dia menemui Cherki di dalam kotak penalti sebelum pemain itu merembat rendah ke penjuru gawang.
Namun, pemain Belgium itu terpaksa dikeluarkan kerana kecederaan yang kelihatan seperti hamstring menjadi satu-satunya detik pahit buat Guardiola pada perlawanan itu.
“Ia satu kehilangan besar. Jeremy adalah pemain yang sangat penting atas banyak sebab,” kata Guardiola. – AFP/UTUSAN






