PETALING JAYA: Keputusan pemain perseorangan lelaki utama negara, Leong Jun Hao tidak menyertai Indonesia Masters 2026 yang bermula semalami dibuat atas pertimbangan berhati-hati oleh Pengarah Kejurulatihan Perseorangan Negara, Kenneth Jonassen bagi mengelakkan sebarang risiko kecederaan menjelang kempen Eropah, Mac ini.
Jurulatih dari Denmark itu menegaskan fokus sebenar pasukan ketika ini adalah memastikan Jun Hao berada pada tahap terbaik apabila mengharungi jelajah Eropah nanti, dengan Kejohanan Badminton All England kekal sebagai sasaran utama musim ini.
“Pertama sekali, dia berdepan dengan beberapa isu kecil yang menghalangnya daripada menjalani latihan yang betul sebelum bertolak ke Indonesia dan kami perlu menilai sama ada dia benar-benar mampu bersaing di tahap tertinggi tanpa memburukkan keadaan.
“Saya tidak mahu mengulas lanjut secara spesifik, tetapi ia bukan kecederaan serius sebaliknya isu badan kecil yang tidak membenarkan tekanan latihan optimum.
“Kami tidak mahu mengambil risiko di kejohanan Jelajah Dunia Super 500,” kata Jonassen kepada pemberita selepas sesi latihan di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara di sini, semalam.
Menurut Jonassen, Jun Hao kini diletakkan dalam program pemulihan dan pengukuhan fizikal bagi memastikan proses persiapannya tidak terganggu serta meminimumkan kehilangan masa latihan kompetitif.
“Jadi, kami meletakkannya dalam program pemulihan (rehab) minggu ini, dengan banyak fokus pada masa yang sama untuk menguatkan keupayaan fizikalnya sebagai persediaan ke kejohanan Eropah, terutamanya All England,” katanya.
Dalam pada itu, satu lagi perseorangan lelaki negara, Justin Hoh berdepan ujian menarik apabila dijadual menentang pemain China, Wang Zheng Xing hari ini, dengan perlawanan itu dilihat sebagai pentas terbaik untuk menilai perkembangan sebenar pemain muda berkenaan.
Jonassen berkata Justin perlu berani mengawal tempo permainan dan tampil lebih agresif kerana hanya pemain yang mampu menyesuaikan diri dengan persekitaran unik di Istora Senayan akan memiliki kelebihan untuk mencipta kejayaan.
“Ini peluang yang baik untuk Justin menunjukkan apa yang telah dia pelajari sepanjang lima atau enam minggu lalu, tetapi menentang pemain China yang sangat mahir, anda tidak boleh mengikut rentak permainan mereka.
“Ia peluang yang baik, tetapi dia pastinya perlu mengawal rentak permainan dan menjadi lebih agresif antara kedua-duanya. Mari kita lihat bagaimana keadaannya esok (hari ini),” katanya. – UTUSAN






