ROM: Kelab gergasi Itali, Juventus diarahkan membayar 8.5 juta pound (RM46.2 juta) gaji tertunggak kepada bekas pemainnya, Cristiano Ronaldo selepas keputusan mahkamah berpihak bintang Portugal itu.
Ronaldo sebelum ini menuntut 17 juta pound (RM92.4 juta) iaitu jumlah gaji bersih yang dijanjikan oleh kelab apabila beliau bersetuju untuk menangguhkan sebahagian gajinya semasa tempoh sekatan pergerakan COVID-19.
Juventus dan pemain lain bersetuju menangguhkan empat bulan gaji pada Mac 2020 dan April 2021 kerana kelab mengalami masalah kewangan tetapi jumlah itu tidak pernah diterima.
Kelab Itali itu juga gagal melaporkan jumlah gaji tertangguh itu dalam penyata kewangan mereka.
Arbitrasi awal tahun lalu memutuskan Ronaldo dan Juventus berkongsi tanggungjawab terhadap perkara berkenaan dan memerintahkan kelab membayar separuh daripada gaji tertangguh itu.
Juventus kemudian membuat rayuan di Mahkamah Buruh Turin, tetapi gagal dan Hakim Mahkamah Buruh, Gian Luca Robaldo menegaskan keputusan awal, dengan Juventus gagal mendapatkan kembali jumlah itu.
Laporan menyatakan kelab Serie A itu, tidak akan menghadapi kesan kewangan tambahan kerana jumlah berkenaan sudah dimasukkan dalam bajet 2023-2024 mereka. – AGENSI/UTUSAN






