LONDON: Arsenal mara ke final Piala Liga buat kali pertama dalam tempoh lapan tahun selepas menumpaskan Chelsea 1-0 dalam aksi timbal balik di Stadium Emirates, semalam menerusi jaringan Kai Havertz.
Kemenangan itu menyaksikan anak buah Mikel Arteta mara ke pentas final dengan agregat 4-2 selepas menang 3-2 dalam aksi pertama di Stamford Bridge dan akan berdepan Manchester City atau Newcastle.
Kemenangan di laman sendiri itu memberi kelegaan buat The Gunners selepas tewas dalam empat separuh akhir sebelum ini iaitu Liga Juara-Juara dan Piala Liga 2025, Piala Liga 2022 serta Liga Europa 2021.
“Kami sangat gembira dan berdasarkan dua perlawanan terakhir, kami memang layak untuk mara. Kami menamatkan perlawanan dengan cara yang cukup indah, dengan Havertz menjaringkan gol pada masa kecederaan.
“Kesebelasan utama, pemain gantian, barisan staf, semuanya terasa magis. Jadi saya sangat gembira kerana ia adalah perlawanan yang sangat sukar menentang lawan yang hebat dan kami berjaya ke Wembley.
“Ia terasa seperti perlawanan yang sangat berbeza berbanding aksi pertama yang lebih terbuka. Mengetahui Chelsea perlu datang ke sini untuk menjaringkan gol, adakah pelan permainan untuk cuba memerangkap mereka apabila peluang itu muncul?
“Sudah tentu kami membuat persiapan untuk memenanginya. Kami tahu kami perlu bermain banyak ‘perlawanan dalam perlawanan’ itu. Lebih-lebih lagi kerana sejak awal mereka menukar susunan permainan dan bermain dengan cara yang berbeza.
“Kami hanya mencipta tiga atau empat peluang, termasuk dua peluang besar sebelum gol dijaringkan. Jurang perbezaannya sangat kecil kerana mereka adalah pasukan yang sangat bagus,” kata Arteta selepas perlawanan.
Untuk rekod, Arsenal tidak pernah menjuarai Piala Liga sejak tahun 1993 dan kini mereka berpeluang menamatkan kemarau kejuaraan dengan meraih trofi pertama kelab sejak Piala FA 2020.
Musim ini tampak berpotensi menjadi kenangan manis buat Arsenal yang kini mendahului carta Liga Perdana Inggeris dengan kelebihan enam mata serta mara ke pusingan 16 terakhir Liga Juara-Juara selepas memenangi semua lapan perlawanan peringkat kumpulan.
Walaupun cemerlang, Arsenal menerima kritikan kerana terlalu bergantung kepada jaringan daripada sepakan sudut dan situasi bola mati.
Arteta mempertahankan gaya permainan pasukannya minggu ini dengan penuh bersemangat, malah mendedahkan beliau memiliki “buku tebal penuh nama” individu yang menyifatkan Arsenal sebagai “pasukan paling menghiburkan di Eropah.”- AGENSI/UTUSAN






