LONDON: Pertahanan Arsenal, Jurrien Timber percaya kejayaan menjulang Piala Liga Inggeris mampu menjadi titik tolak penting buat The Gunners untuk menamatkan kemarau kejuaraan dan memburu lebih banyak trofi musim ini.
Skuad kendalian Mikel Arteta kini hanya dipisahkan 90 minit untuk menamatkan penantian enam tahun tanpa trofi utama selepas menyingkirkan Chelsea dengan agregat 4-2 sekali gus mengesahkan tempat ke final menentang Manchester City di Wembley bulan depan.
Keyakinan Arsenal bukan sekadar bersandarkan kejayaan mara ke final Piala Liga, malah turut diperkukuh dengan kedudukan selesa di puncak Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan kelebihan enam mata, selain layak ke pusingan 16 terbaik Liga Juara-Juara Eropah tanpa sebarang kekalahan dalam fasa liga.
Cabaran Arsenal musim ini juga dilihat semakin cerah apabila mereka bakal berdepan kelab divisyen ketiga, Wigan Athletic pada pusingan keempat Piala FA minggu depan, sekali gus membuka peluang untuk menambah satu lagi kejuaraan dalam saingan domestik.
“Kami belum menang apa-apa lagi, tetapi kami sudah meletakkan diri di posisi terbaik untuk menang. Final Carabao (Piala Liga) datang lebih awal, jadi mungkin ia bagus sebagai motivasi dan suntikan semangat untuk memburu trofi lain juga.
“Bukan setiap masa kami boleh beraksi pada tahap terbaik, tetapi pasukan ini melakukan tugas hebat untuk mencari jalan menang walau dalam apa jua keadaan. Kami lakukannya di tempat lawan menentang Chelsea yang bukan mudah, kemudian di laman sendiri juga. Jadi, ia memang layak,” kata Timber.
Menurut Timber, suasana kegembiraan jelas terpancar dalam kalangan pemain sebaik sahaja tiket ke Wembley berjaya diraih, sekali gus mencerminkan betapa pentingnya kejayaan itu buat pasukan dan penyokong.
“Anda boleh lihat betapa lega dan gembiranya setiap orang apabila kami ke Wembley. Harapnya akan ada lebih banyak sambutan selepas ini,” ujarnya.
Dalam perlawanan separuh akhir itu, Kai Havertz muncul wira Arsenal apabila meledak gol kemenangan pada minit ketujuh masa kecederaan untuk kemenangan 1-0 pada separuh akhir kedua di Emirates, sekali gus memastikan tempat ke final menentang City.
Pemain antarabangsa Jerman itu sebelum ini diketepikan hampir setahun susulan kecederaan serius hamstring dan lutut, namun kebangkitannya mula dirasai apabila dia kini sudah menjaringkan dua gol dalam tiga penampilan terakhirnya bersama Arsenal.
“Kehadiran Havertz dalam pasukan memberi perbezaan besar, termasuk di tengah padang. Semua boleh lihat kualitinya yang hebat dan betapa gembiranya kami untuknya.
“Dia seorang yang ceria, bukan pendiam dan setiap orang sukakan dia. Apabila dia tiada, setiap orang dapat rasakan.
“Jadi kami gembira dia kembali bersama kami. Harap dia menikmati detik ini dan akan ada lebih banyak detik seperti ini selepas ini,” jelasnya. – AFP/UTUSAN






