RIYADH: Kemenangan tipis 1-0 Al-Nassr ke atas Al-Riyadh dalam saingan Liga Pro Saudi semalam diraih tanpa kelibat Cristiano Ronaldo, selepas bintang Portugal itu dilaporkan tidak berpuas hati dengan aktiviti perpindahan kelab yang hambar.
Beberapa laporan media antarabangsa menyebut Ronaldo memilih untuk tidak diturunkan sebagai tanda kekecewaan terhadap kegagalan pengurusan Al-Nassr membawa masuk pemain berprofil besar sebelum jendela perpindahan ditutup.
Al-Nassr yang kini menghuni tangga kedua liga itu dikendalikan Jorge Jesus, dilihat kekurangan penambahan pemain berkualiti sekali gus dikatakan tidak selari dengan cita-cita tinggi Ronaldo yang mahu melihat Al-Nassr terus mencabar kejuaraan.
Walaupun tanpa khidmat penyerang berusia 39 tahun itu, Al-Nassr tetap meneruskan rentak cemerlang apabila mencatat kemenangan liga kelima berturut-turut, sekali gus merapatkan jurang kepada hanya satu mata di belakang pendahulu liga, Al-Hilal.
Situasi itu semakin mencuri perhatian apabila Al-Hilal pula dilaporkan hampir memuktamadkan perpindahan sensasi melibatkan Karim Benzema, bekas rakan sepasukan Ronaldo di Real Madrid, sekali gus memberi isyarat jelas kesungguhan mereka memperkukuh skuad.
Ronaldo tidak mengalami kecederaan, sakit atau digugurkan oleh Jesus, menurut laporan ESPN.
Dia juga tidak bercadang meninggalkan Al-Nassr, yang menandatanganinya dengan lanjutan kontrak lumayan selama dua tahun pada Jun 2025.
Menurut CBS Sports, pegawai kanan kelab memahami rasa tidak puas hati Ronaldo terhadap Dana Pelaburan Awam (PIF), dana kekayaan berdaulat Arab Saudi yang memiliki Al-Nassr, Al-Hilal serta dua lagi kelab Liga Pro.
Ronaldo, yang akan menyambut hari lahir ke-41 Khamis ini, sudah menjaringkan 91 gol dalam 95 perlawanan liga bersama Al-Nassr sejak tiba di Riyadh, ibu negara Arab Saudi pada 2023.
Dia kekal sebagai penjaring terbanyak sepanjang zaman bola sepak dengan 961 gol bersama kelab dan negara. – AGENSI/UTUSAN






