LONDON: Pemain Arsenal membuktikan mereka mampu menang tanpa mengharapkan gol daripada situasi bola mati apabila Bukayo Saka meledak menerusi permainan terbuka ketika menang 1-0 ke atas Brighton, semalam.
Rembatan Saka yang terbias di babak pertama mengesahkan kemenangan ketiga berturut-turut, sekali gus menghampiri kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini.
The Gunners mendahului takhta liga dengan kelebihan tujuh mata ke atas pencabar terdekat, Manchester City, yang seri 2-2 menentang Nottingham Forest tetapi kurang satu perlawanan berbanding Arsenal.
“Sungguh mengejutkan. Jika anda imbau aksi-aksi sebelum ini, anda akan temui banyak komen-komen yang tidak senang dengan Arsenal. Saya sayangkan pemain-pemain saya. Saya suka cara mereka bersaing.
“Apabila anda berada di posisi kami, sudah pasti lawan mahu merampasnya daripada anda. Itu perkara biasa, itulah sukan. Kini kami buktikan mampu meledak dalam apa jua situasi dalam usaha memburu kejuaraan,” kata Arteta.
Pengendali Brighton, Fabian Hurzeler, minggu ini mengkritik Arsenal kerana melengahkan masa ketika situasi bola mati dan beliau sekali lagi memprotes kepada pegawai keempat apabila Arsenal mengambil masa untuk melakukan lontaran ke dalam.
The Gunners sudah menjaringkan 16 gol daripada sepakan penjuru musim 2025-26, menyamai rekod Liga Perdana untuk satu musim dan keseluruhan 19 gol daripada situasi bola mati.
Arsenal akan berdepan Bayer Leverkusen di peringkat 16 terakhir Liga Juara-Juara Eropah, menentang Manchester City di final Piala Liga dan bertandang ke Mansfield untuk pusingan kelima Piala FA. – AGENSI/UTUSAN






