LEVERKUSEN: Pengurus Arsenal FC, Mikel Arteta menyifatkan sepakan penalti lewat yang disempurnakan Kai Havertz ketika menentang bekas kelabnya, Bayer Leverkusen sebagai kisah yang cukup luar biasa.
Gol pada minit ke-89 itu memastikan Arsenal mengikat Leverkusen 1-1 dalam aksi pertama pusingan 16 terakhir Liga Juara-Juara, semalam.
Keputusan tersebut memberikan kelebihan psikologi buat The Gunners menjelang perlawanan timbal balik di Stadium Emirates, minggu depan.
Jaringan itu hadir dalam perlawanan penuh emosi buat Havertz yang pernah menghabiskan sedekad bersama Leverkusen sebelum berhijrah ke Chelsea pada 2020.
Bersama Chelsea, pemain Jerman itu membantu kelab London berkenaan menjulang trofi Liga Juara-Juara sebelum membuat keputusan menyertai Arsenal pada 2023.
Arteta mengakui bola sepak sering menghadirkan kisah dramatik dan apa yang berlaku kepada Havertz di stadium lamanya adalah contoh terbaik.
“Bola sepak sentiasa menghasilkan cerita yang gila. Sudah tentu luar biasa apabila Kai kembali ke sini selepas bertahun-tahun dan menjaringkan penalti itu. Ia satu cerita yang hebat,” kata Arteta.
Havertz yang dimasukkan dari bangku simpanan pada minit ke-74 terlebih dahulu menerima tepukan daripada penyokong tuan rumah sebelum tenang menyempurnakan sepakan penalti menewaskan penjaga gol Leverkusen, Janis Blaswich.
“Penalti pada minit akhir tidak selalu mudah. Masa antara wisel dan sepakan penalti terasa sangat lama. Tetapi dalam detik seperti ini anda perlu kekal fokus.
“Inilah detik yang saya usahakan selama bertahun-tahun, untuk berada dalam situasi seperti itu. Saya mengenali stadium ini dan sudah banyak kali menjaringkan penalti dari tempat ini,” ujar Havertz. – AGENSI/UTUSAN






