LONDON: Pengurus Mikel Arteta mengakui pemain muda, Max Dowman mampu memberi impak namun tidak menyangka sumbangannya begitu besar dalam membantu The Gunners menewaskan Everton 2-0 dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stadium Emirates, semalam.
Ketika perlawanan tampak menuju keputusan seri manakala Arsenal bergelut mencari jaringan, kemasukan Dowman sebagai pemain gantian selepas satu jam permainan mengubah corak perlawanan.
Pemain remaja itu terlebih dahulu mencetuskan gerakan gol pembukaan apabila hantaran lintangnya disempurnakan penyerang Viktor Gyokeres pada minit ke-89.
Tidak lama kemudian, Dowman mencipta detik bersejarah buat dirinya dan kelab apabila meledak gol kedua pada masa kecederaan menjadikan dia penjaring termuda dalam sejarah Arsenal serta pemain paling muda pernah menjaringkan gol dalam EPL.
Arteta berkata, berdasarkan persembahan Dowman dalam sesi latihan beberapa hari sebelum perlawanan, dia sudah merasakan pemain itu berpotensi memberi impak.
Menurut Arteta, pemain berkenaan tidak menunjukkan sebarang tanda gugup walaupun beraksi dalam perlawanan penting.
“Dalam fikiran saya memang ada firasat. Dalam beberapa hari latihan terakhir, saya rasa ini adalah masa yang sesuai untuknya.
“Dia tidak kelihatan tertekan dengan suasana, lawan atau situasi perlawanan. Dia bermain secara semula jadi dan membuat keputusan tepat di atas padang. Apa yang ditunjukkannya memang luar biasa,” kata Arteta. – AGENSI/UTUSAN






