LONDON: Gabriel Magalhaes merupakan salah seorang daripada enam pemain Arsenal yang menarik diri daripada tugas antarabangsa dengan alasan kebimbangan kecederaan.
Pertahanan Brazil itu menyertai William Saliba, Leandro Trossard, Jurrien Timber dan Eberechi Eze yang turut menarik diri daripada pasukan kebangsaan masing-masing semasa tempoh rehat antarabangsa.
Minggu lalu kapten Arsenal, Martin Odegaard tidak disenaraikan dalam skuad Norway kerana masih dalam proses pemulihan daripada kecederaan lutut.
Tahap keseriusan kecederaan tersebut masih tidak jelas, dengan penarikan diri Gabriel, Saliba dan Trossard dilihat sebagai langkah berjaga-jaga.
Gabriel menarik diri daripada skuad Brazil kendalian Carlo Ancelotti bagi perlawanan persahabatan menentang Perancis dan Croatia, dengan alasan sakit pada lutut kanan selepas kekalahan dalam perlawanan akhir Piala Liga menentang Manchester City pada Ahad.
William Saliba, yang bergandingan bersama Gabriel di bahagian tengah pertahanan Arsenal, turut menarik diri daripada skuad Perancis. Maxence Lacroix dari Crystal Palace telah dipanggil sebagai pengganti Saliba.
Leandro Trossard, yang bermain selama 82 minit dalam perlawanan akhir, menarik diri daripada skuad Belgium selepas perbincangan antara persatuan bola sepak negara itu dan Arsenal.
Sebelum ini, Eberechi Eze dan Jurrien Timber masing-masing terpaksa menarik diri daripada skuad England dan Belanda.
Pasukan kendalian Mikel Arteta seterusnya akan beraksi menentang Southampton dalam suku akhir Piala FA pada 4 April ini, sebelum berdepan Sporting Lisbon tiga hari kemudian pada peringkat yang sama dalam Liga Juara-Juara. – AGENSI/UTUSAN






