LONDON: Ketua jurulatih Barcelona, Hans Flick tidak mahu anak buahnya memandang mudah cabaran Newcastle United dalam aksi pertama pusingan 16 Liga Juara-Juara, awal pagi esok.
Flick menegaskan setiap perlawanan menentang mana-mana pasukan di Eropah adalah sangat penting dan tiada aksi mudah dalam saingan peringkat kalah mati di kejohanan berkenaan.
“Setiap perlawanan adalah penting dan yang paling utama, tiada satu pun mudah kerana kita bercakap mengenai Liga Juara-Juara. Semua pasukan mahu mara sejauh mungkin kali ini
“Newcastle United juga memiliki skuad yang hebat. Kami dapat melihat perkara itu dalam beberapa perlawanan terakhir mereka dan juga ketika kami bertemu mereka sebelum ini.
“Bukan mudah untuk berdepan mereka, jadi kami sentiasa perlu menghormati lawan. Semua pasukan mahu mara ke final, termasuk kami dan juga Newcastle,” kata Flick.
Sementara itu, perancang tengah Barca, Gavi tetap mengikut rombongan ke England bagi berdepan Newcastle di St. James Park walaupun masih belum mendapat pelepasan perubatan.
Pemain berusia 21 tahun itu masih dalam fasa pemulihan selepas menjalani pembedahan akibat kecederaan meniskus pada lutut kanan yang dialaminya pada September tahun lalu.
Kehadiran pemain kelahiran Andalusia itu menjadi satu-satunya tambahan baharu dalam skuad kendalian Flick menjelang perlawanan penting di England. – AGENSI/UTUSAN






