FOXBOROUGH: Kylian Mbappe hanya memerlukan satu jaringan untuk menyamai rekod penjaring terbanyak sepanjang zaman Perancis selepas mencetak gol pembukaan dalam kemenangan 2-1 ke atas Brazil dalam aksi persahabatan dua calon utama Piala Dunia itu, semalam.
Mbappe melakukan larian solo sebelum menewaskan penjaga gol Ederson dengan sepakan lambung untuk meletakkan Perancis mendahului permainan sejurus selepas minit ke-30 di Stadium Gillette berhampiran Boston, gelanggang pasukan NFL New England Patriots.
Perancis yang juga juara Piala Dunia 2018 dan naib juara 2022, kehilangan pertahanan Dayot Upamecano yang dilayangkan kad merah pada awal separuh masa kedua, namun mereka tetap menambah jaringan menerusi Hugo Ekitike pada minit ke-65.
Brazil di bawah kendalian Carlo Ancelotti berjaya merapatkan jurang 12 minit sebelum tamat melalui jaringan jarak dekat pertahanan Juventus, Gleison Bremer tetapi Les Bleus bertahan untuk mencatat kemenangan yang meningkatkan keyakinan menjelang Piala Dunia yang akan bermula dalam tempoh dua setengah bulan.
“Saya sudah katakan sebelum ini bahawa kita tidak boleh terlalu banyak membuat kesimpulan daripada perlawanan ini. Ia bukan final Piala Dunia, tetapi ia menunjukkan kami berada dalam momentum yang baik,” kata Mbappe kepada penyiar TF1.
Brazil pula menuju ke Piala Dunia tahun ini di mana mereka akan menentang Maghribi, Scotland dan Haiti di peringkat kumpulan dengan harapan pelantikan Ancelotti sebagai jurulatih mampu menjadikan mereka pencabar serius untuk merangkul gelaran keenam.
Ancelotti berkata beliau ‘separuh berpuas hati’ dengan keputusan tersebut.
Brazil kehilangan beberapa pemain utama, termasuk penjaga gol Alisson Becker, pasangan pertahanan Gabriel Magalhaes dan Eder Militao, pemain tengah Bruno Guimaraes serta penyerang Rodrygo dan Estevao. – AFP/UTUSAN






