LONDON: Mikel Arteta mempertahankan keputusannya menurunkan Kepa Arrizabalaga dalam final Piala Liga selepas kesilapan penjaga gol itu menyaksikan Arsenal tewas 0-2 kepada Manchester City, kelmarin.
Kesilapan berlaku pada separuh masa kedua di Wembley apabila Kepa gagal menangkap hantaran lintang Rayan Cherki, membolehkan Nico O’Reilly menjaringkan gol pembukaan menerusi tandukan. Empat minit kemudian, O’Reilly menambah jaringan kedua.
Arteta menjelaskan, keputusan mengekalkan Kepa adalah untuk menghormati peranan penjaga gol itu yang telah bermain sepanjang saingan Piala Liga musim ini.
Keputusan itu memakan diri apabila Kepa sekali lagi mengalami detik pahit dalam final Piala Liga selepas insiden pada 2019 apabila dia enggan dikeluarkan oleh pengurus Chelsea ketika itu, Maurizio Sarri sebelum kekalahan penentuan penalti kepada City di mana dia gagal menyelamatkan sepakan.
Kepa juga pernah gagal menjaringkan penalti dalam kekalahan penentuan penalti kepada Liverpool tiga tahun kemudian.
“Saya faham tetapi saya perlu melakukan apa yang betul dan adil. Kepa telah bermain sepanjang pertandingan ini, saya rasa tidak adil kepada dia dan pasukan jika melakukan sesuatu yang berbeza.
“Dia telah mengharungi keseluruhan pertandingan ini. Kesilapan adalah sebahagian daripada bola sepak dan malangnya ia berlaku hari ini pada saat yang penting,” katanya.
Walaupun mendahului sembilan mata di puncak Liga Perdana Inggeris (EPL), Arsenal dijangka menewaskan City tetapi gagal memenuhi jangkaan.
“Kami sangat sedih dan kecewa. Kami tahu betapa pentingnya trofi ini. Separuh masa pertama kami lebih baik namun gagal menjaringkan gol. Dalam 20 minit pertama separuh masa kedua, kami tidak berada pada tahap terbaik dan lawan memanfaatkan peluang dengan baik,” kata Arteta.
Kekalahan ini menyaksikan Arsenal masih belum menambah koleksi trofi sejak Piala FA 2020, sekaligus menamatkan harapan mereka meraih empat gelaran musim ini. – AFP/UTUSAN






