NILAI: Datuk Azizulhasni Awang membuktikan usia bukan penghalang apabila menewaskan pelumba yang rata-rata hampir sedekad lebih muda untuk menjuarai keirin di pentas Piala Dunia Trek 2026 di Velodrom Nasional Malaysia, Nilai, kelmarin.
Azizulhasni berkata, kekuatan mental menjadi faktor utama yang membolehkannya terus bersaing di tahap tertinggi meskipun usia semakin meningkat.
Menurutnya, keupayaan mengawal emosi serta membaca perlumbaan menjadi kelebihan berbanding pelumba lebih muda yang bergantung kepada kekuatan fizikal semata-mata.
“Semestinya saya gembira (berlumba di usia ini), tetapi lebih kepada untuk buktikan kepada seluruh rakyat Malaysia dan seluruh dunia sebenarnya.
“Usia hanya angka, itu tentang mentaliti dan juga hati, kalau kita mahu sesuatu, apa-apa sahaja kita boleh buat.
“Walaupun semua tengok hari ini saya menang, di Perth saya menang, tetapi di belakang tabir, 38 tahun untuk berada dalam tahap ini bukan mudah, tetapi saya buktikan yang saya boleh buat,” kata Azizulhasni.
Selain emas di Nilai, kelmarin Azizulhasni turut merangkul kejuaraan pada aksi pembukaan di Perth, sekali gus membolehkannya mengumpul 1,600 mata untuk memenangi carta keseluruhan acara keirin lelaki, mengatasi pencabar utama dari Belanda, Harrie Lavreysen (1,520 mata), manakala Matthew Richardson di tempat ketiga (1,120 mata).
Dalam masa yang sama, Azizulhasni meluahkan ketika beliau masih berlumba di dalam trek, ramai pelumba seusianya sudah menggantung basikal, namun Azizulhasni membuktikan faktor usia bukan penghalang untuk terus bersaing di peringkat tertinggi.
“Selepas kemenangan ke atas Richardson di Perth, ramai dalam arena berbasikal datang memberi penghormatan, bukan sahaja pelumba tetapi juga jurulatih dan pegawai.
“Mereka kata apa yang saya lakukan pada usia 38 tahun adalah sesuatu yang luar biasa dan menjadi contoh baik kepada generasi muda. Ramai rakan seusia saya dari negara lain sudah menjadi jurulatih, jadi apa yang saya capai ini dianggap sesuatu yang tidak dijangka dalam sukan ini,” katanya. – UTUSAN






