PARIS: Paris Saint-Germain (PSG) perlu ‘membunuh’ perlawanan lebih awal bagi mengelak Bayern Munich bangkit dalam aksi separuh akhir kedua Liga Juara-Juara Eropah di Allianz Arena, minggu depan.
Pengendali PSG, Luis Enrique berkata, anak buahnya perlu menjaringkan lebih banyak gol dalam aksi kedua itu jika mahu ke pentas final dan mempertahankan kejuaraan yang dimenangi pada musim lalu.
Pengendali kelahiran Sepanyol itu juga mengakui Bayern akan tampil jauh lebih kuat dan mendapat semangat luar biasa apabila beraksi di hadapan penyokong sendiri di stadium keramat mereka di Allianz Arena.
“Saya baru bertanya kepada staf saya berapa gol yang kami perlukan minggu depan dan kami semua fikir sekurang-kurangnya tiga gol,” kata Enrique yang membimbing PSG menjulang Liga Juara-Juara buat kali pertama musim lalu.
PSG membelasah Inter Milan 5-0 pada final musim lalu dan aksi timbal balik minggu depan akan menjadi kunjungan pertama mereka ke Allianz Arena sejak kejayaan itu.
“Bayern pasti lebih kuat di stadium sendiri dengan sokongan penyokong mereka. Tetapi kembali ke sana akan mengimbau memori indah buat kami. Kami mahu tampil dengan mentaliti sama dan turun untuk menang,” katanya.
Aksi penuh dramatik di Parc des Princes semalam, menyaksikan perlawanan separuh akhir pertama itu diwarnai dengan jumlah jaringan tertinggi dalam era moden Liga Juara-Juara.
Enrique menyifatkan intensiti perlawanan itu luar biasa dari awal hingga akhir dan pasukannya bertuah untuk keluar sebagai pemenang dan membawa bekalan satu gol ke Allianz Arena.
“Kami menang dan kami sangat gembira, tetapi ketika mendahului 5-2 kami fikir mungkin boleh memperoleh keputusan lebih baik. Kami layak menang, tetapi kami juga sebenarnya boleh seri atau kalah,” katanya.
Babak pertama menyaksikan Harry Kane meletakkan Bayern di depan menerusi penalti sebelum Khvicha Kvaratskhelia dan Joao Neves mengubah kedudukan buat PSG.
Michael Olise kemudian menyamakan kedudukan 2-2 sebelum penalti Ousmane Dembele memastikan PSG kembali mendahului sebelum rehat.
Kvaratskhelia dan Dembele menambah lagi jaringan PSG selepas itu untuk menjadikan kedudukan 5-2 sebelum Dayot Upamecano dan Luis Diaz merapatkan jurang buat Bayern. – AGENSI/UTUSAN






