PETALING JAYA: Pemain skuasy No. 1 negara, S. Sivasangari kini mendaki ke ranking No. 5 dunia selepas dia merangkul Piala Grasshopper di Zurich, Switzerland, kelmarin.
Diletakkan selaku pilihan ketiga, anak jati Sungai Petani, Kedah itu mengambil masa selama lebih sejam sebelum berhasil menundukkan pemain No. 7 dunia, Satomi Watanabe dari Jepun 15-13, 5-11, 5-11, 11-7, 11-8 di final.
Piala Grasshopper merupakan gelaran ke-17 Sivasangari dalam Jelajah PSA dan dia juga muncul sebagai pemain Asia pertama dalam tempoh lapan tahun setengah memecah masuk kelompok lima terbaik dunia, selepas Datuk Nicol David berbuat demikian.
Kemaraannya ke pentas akhir juga merupakan yang kedua berturut-turut selepas edisi lalu Sivasangari tumpas di tangan bekas bintang No. 1 dunia, Nouran Gohar dan percubaan tahun ini akhirnya membuahkan hasil.
Pencapaian tersebut turut memberi petanda positif dalam persiapan pemain berusia 27 tahun itu memburu tempat ke Sukan Olimpik di Los Angeles, Amerika Syarikat pada 2028.
Bercakap tentang Orfi yang hanya akan memasuki usia 19 tahun pada 29 Jun ini, bekas juara remaja dunia itu antara halangan terbesar buat Sivasangari bagi memburu pingat di Olimpik, selain rakan senegaranya yang juga jaguh No. 1 dunia, Hania El Hammamy.
“Berdepan Satomi yang saya kenal sejak kami berusia sembilan tahun lagi dan dia merupakan sahabat baik saya, jadi, menentangnya memang selalu sukar di atas kejayaan ini. Saya sangat letih, tetapi, saya gembira berjaya memenangi gelaran,” katanya. – UTUSAN






