LONDON: Arsenal yakin kembali menguasai perebutan kejuaraan Liga Perdana Inggeris dan kemenangan ke atas West Ham United minggu hampir memastikan gelaran pertama buat The Gunners dalam tempoh 22 tahun.
Namun, Manchester City yang terpaksa menelan kepahitan selepas keputusan seri 3-3 yang merugikan menentang Everton awal minggu ini mungkin akhirnya menjadi penamat kepada harapan mereka.
Sebelum ini kemerosotan prestasi Arsenal membuka ruang kepada City untuk kembali ke dalam perebutan kejuaraan tetapi kemenangan liga berturut-turut telah menaikkan semula semangat kelab utara London itu.
Kemenangan 1-0 ke atas Atletico Madrid di Stadium Emirates dalam aksi separuh akhir Liga Juara-Juara menambahkan lagi suasana positif buat anak-anak buah Mikel Arteta.
Arsenal kini mendahului City lima mata walaupun The Citizens masih mempunyai satu perlawanan dalam tangan, dengan baki perlawanan menentang West Ham, Burnley dan Crystal Palace.
The Hammers yang terancam di zon penyingkiran tidak pernah menewaskan seteru London mereka di laman sendiri dalam liga sejak 2019 tetapi kini mereka sedang berjuang untuk terus hidup.
Legenda Arsenal Thierry Henry, anggota penting skuad terakhir kelab itu yang memenangi liga pada 2004, bimbang perlawanan di Stadium London boleh menjadi perangkap buat Arsenal.
“Saya sentiasa fikir City mungkin akan tercicir mata menentang Everton dan kebimbangan saya ialah West Ham di tempat lawan,” katanya kepada Sky Sports.
“Jadi saya akan kekal tenang dan tidak meraikan terlalu awal kerana belum ada apa-apa yang selesai, tetapi saya boleh nampak perkara itu berlaku.” – AFP/UTUSAN






