LONDON: Pengendali Arsenal, Mikel Arteta mengakui ‘tuah’ memihak kepada The Gunners selepas mengutip tiga mata penting hasil kemenangan 1-0 ke atas West Ham United, semalam.
Kemenangan berkenaan hadir selepas pengadil, Chris Kavanagh dan pegawai Video Bantuan Pengadil (VAR) bertindak membatalkan gol penyamaan West Ham.
Arsenal hampir dikejutkan pada masa kecederaan apabila Callum Wilson menjaringkan gol selepas penjaga gol The Gunners, David Raya gagal menangkap kemas bola dalam kotak penalti.
Bagaimanapun, gol itu dibatalkan selepas VAR meminta Kavanagh meneliti semula insiden itu di monitor tepi padang sebelum memutuskan Wilson melakukan kekasaran terhadap Raya.
Keputusan berkenaan mencetuskan kemarahan kem West Ham, namun Arteta menegaskan pengadil membuat keputusan tepat.
“Hari ini saya perlu mengucapkan tahniah kepada mereka. Mereka mempamerkan keberanian untuk memberi peluang kepada pengadil melihat semula insiden itu.
“Apabila anda melihat ulang tayang, tiada persoalan ia adalah kekasaran yang jelas. Mereka sangat berani dan tindakan itu memang memerlukannya.
“Pada pendapat saya, ia sangat jelas. Itu peraturannya dan kami mahukan konsistensi. Saya sedar betapa besarnya tanggungjawab pengadil apabila perlu membuat keputusan yang boleh mengubah nasib dua pasukan,” kata Arteta.
Keputusan dramatik itu meletakkan Arsenal semakin hampir menjulang gelaran Liga Perdana Inggeris pertama sejak 2004.
Skuad kendalian Arteta kini lima mata di depan Manchester City yang masih beraksi kurang satu perlawanan.
Arsenal akan disahkan sebagai juara jika menewaskan Burnley pada 18 Mei dan Crystal Palace pada aksi terakhir musim ini.
“Saya pasti akan mengingati hari ini. Ia penuh emosi. West Ham berjuang untuk kekal dalam liga dan kami pula mahu menjuarai EPL.
“Kami bermula baik dan mencipta tiga peluang besar sebelum Ben White cedera dan kami terpaksa mengubah rancangan. Kami memberikan segala-galanya untuk menang dan keberanian itu akhirnya dibalas,” katanya.
Arteta turut memuji Raya dan Martin Odegaard yang memainkan peranan penting dalam kemenangan itu.
Raya menyelamatkan percubaan jarak dekat Mateus Fernandes ketika kedudukan masih 0-0, manakala Odegaard mencipta bantuan gol buat Leandro Trossard menerusi gerakan bijak pada babak kedua.
“Jika mahu memenangi trofi besar, anda perlukan momen magis daripada pemain terbaik. David melakukannya dan Martin pula menghasilkan aksi hebat untuk gol kemenangan,” kata Arteta. – AGENSI/UTUSAN






