LONDON: Mikel Arteta menggesa pemain Arsenal supaya kembali memberi tumpuan penuh terhadap aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) menentang West Ham United hari ini selepas kejayaan penuh emosi mara ke final Liga Juara-Juara.
Pengendali dari Sepanyol itu menegaskan, Arsenal tidak boleh terlalu leka dengan kejayaan menewaskan Atletico Madrid pada separuh akhir kedua, Rabu lalu kerana pasukannya kini semakin hampir untuk menamatkan kemarau kejuaraan liga selama 22 tahun.
The Gunners berada di landasan terbaik untuk muncul juara England buat kali pertama sejak 2004 sekiranya berjaya memenangi baki tiga perlawanan liga musim ini.
Bagaimanapun, kunjungan ke Stadium London menentang West Ham yang sedang bergelut mengelak penyingkiran dianggap cabaran paling sukar buat Arsenal.
Selepas aksi itu, Arsenal akan menerima kunjungan Burnley sebelum menamatkan saingan menentang Crystal Palace.
“Kami perlu kekal fokus dan hidup pada saat ini. Para pemain perlu menunjukkan tenaga, semangat dan keinginan yang sama seperti sepanjang musim ini, malah lebih baik lagi,” kata Arteta.
Menurutnya lagi, setiap aksi selepas ini amat penting dalam menentukan hala tuju musim Arsenal sama ada di pentas domestik mahupun Eropah.
“Kami semakin hampir dan setiap perkara yang kami lakukan sekarang akan memberi kesan besar,” katanya.
Dalam perkembangan sama, keputusan perlawanan di Stadium London turut menjadi perhatian pencabar setempat Arsenal, Tottenham Hotspur yang hanya dibezakan satu mata dengan West Ham United dalam perebutan mengelak penyingkiran. – AFP/UTUSAN






