MANCHESTER: Pengurus Manchester City, Pep Guardiola akan melakukan penggiliran pemain demi memastikan kelab itu mengakhiri musim ini dengan pencapaian cemerlang.
City akan berdepan empat perlawanan dalam tempoh kurang dua minggu, sekali gus memaksa Guardiola membuat beberapa keputusan penting mengenai barisan pemainnya.
Guardiola perlu menentukan berapa minit akan diberikan kepada pemain utama serta sama ada mahu memberi peluang kepada pemain simpanan untuk meneruskan aksi.
Sebelum ini, Guardiola terkenal sebagai jurulatih yang kerap menukar kesebelasan utama, sesuatu yang sering diperhatikan peminat Liga Perdana Inggeris (EPL)
Namun kebelakangan ini, beliau dilihat lebih stabil dengan satu kesebelasan utama yang konsisten, menyebabkan perubahan pemain tidak begitu kerap dilakukan.
Keadaan tersebut juga dipengaruhi kecederaan berterusan Rodri, selain keperluan untuk mengelakkan keletihan dalam kalangan pemain utama.
“Saya akan melakukan pergiliran pemain pada perlawanan akan datang. Jika tidak, kami tidak akan bersedia untuk final Piala FA atau perlawanan menentang Bournemouth,” kata Guardiola menjelang aksi berdepan Crystal Palace, esok.
Dengan Arsenal terus mencatat kemenangan, City masih perlu memenangi semua baki perlawanan untuk kekal dalam perebutan kejuaraan EPL musim ini.
Sebarang perubahan besar dalam kesebelasan utama boleh menjejaskan rentak pasukan dan memberi kesan kepada peluang mereka.
Dalam beberapa perlawanan terakhir, pemain gantian di bahagian tengah yang menggantikan Rodri belum benar-benar memberi impak seperti diharapkan.
Namun Guardiola percaya ada sebab mengapa pemain tertentu sentiasa menjadi pilihan utama dan perubahan besar boleh mencetus risiko.
Walaupun begitu, beberapa pemain simpanan tetap mampu memberi sumbangan seperti Omar Marmoush yang menjaringkan gol menarik pada hujung perlawanan menentang Brentford.
Phil Foden juga tampil cemerlang selepas dimasukkan, mencipta beberapa percubaan berbahaya yang memaksa penjaga gol Caoimhin Kelleher bekerja keras. – AGENSI/UTUSAN






