PETALING JAYA: Kuala Lumpur (KL) City FC menjadi ‘penentu’ nasib Selangor FC dan Kuching City FC yang merebut gelaran naib juara Liga Super musim ini.
Skuad kendalian Risto Vidakovic itu bakal berkunjung ke Stadium Negeri di Kuching bagi aksi terakhir menentang tuan rumah, Kuching City FC minggu ini.
Meskipun peluang Kuala Lumpur untuk menamatkan saingan di kelompok kedua sudah tertutup, skuad warga kota dianggap sebagai ‘Kingmaker’ yang boleh mengubah landskap perebutan slot ke Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) (ACL2) musim hadapan.
Anak-anak buah Kim Pan Gon dijadual melayani kunjungan PDRM FC di Stadium Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MBPJ) minggu ini, yang diramal tidak menghadirkan masalah besar kepada skuad Gergasi Merah untuk meraih tiga mata penuh.
Penganalisis bola sepak tempatan, Azlan Johar berkata, kedua-dua perlawanan terakhir itu bakal menjadi tumpuan kerana setiap keputusan mampu mengubah kedudukan akhir liga, terutama dalam perebutan tempat kedua.
“Kedua-dua pasukan di bawah tekanan. Kuching City perlu menang tetapi dalam masa sama Selangor juga tidak boleh tercicir mata. Jadi peranan KL City di Kuching nanti sangat besar.
“KL City mungkin tidak lagi bersaing untuk tempat kedua, tetapi mereka masih ada maruah dan motivasi untuk menutup musim dengan kemenangan. Sebab itu mereka boleh jadi penentu,” katanya kepada Nexbyte.
Bekas pemain kebangsaan itu juga berkata, berdasarkan kekuatan semasa, Kuching City dan Selangor tidak boleh tersilap langkah kerana tekanan kini terletak sepenuhnya kepada kemampuan mengutip tiga mata penuh.
“Kalau tengok situasi sekarang, Selangor nampak sedikit kelebihan, tetapi Kuching City pula bermain di laman sendiri. Jadi semuanya masih terbuka,” katanya.
Ketika ini, Kuching City berada di kedudukan kedua dengan 50 mata dengan hanya berkelebihan satu mata di hadapan Selangor FC yang berada di kedudukan ketiga . – UTUSAN





