BARCELONA, Sepanyol: Alvaro Arbeloa mengakui Real Madrid perlu menerima kemarahan penyokong selepas musim mengecewakan mereka berakhir dengan menyaksikan Barcelona menjulang gelaran La Liga di depan mata sendiri.
Kekalahan 0-2 kepada Barcelona pada aksi El Clasico di Camp Nou, semalam menerusi ledakan Marcus Rashford dan Ferran Torres pada babak pertama memastikan skuad kendalian Hansi Flick meraih gelaran liga ke-29 mereka dengan mengumpul 14 mata di depan ketika berbaki tiga perlawanan.
Keputusan itu juga mengesahkan Real menamatkan musim tanpa sebarang trofi pada kempen penuh kekecewaan musim ini.
“Tidak banyak yang boleh kami katakan. Kami faham kekecewaan dan kemarahan penyokong terhadap musim ini. Apa yang kami boleh lakukan adalah terus bekerja keras dan memandang ke depan selain belajar daripada segala kesilapan tahun ini.
“Real Madrid sentiasa akan bangkit semula. Kami sudah banyak kali jatuh dan bangkit kembali, tetapi saya faham kemarahan dirasakan setiap penyokong Real Madrid. Kami perlu bekerja untuk mengubah keadaan ini,” kata Arbeloa.
Musim Real terus bergolak selepas tersingkir pada suku akhir Liga Juara-Juara kepada Bayern Munich selain insiden pergaduhan dalam bilik persalinan membabitkan Federico Valverde dan Aurelien Tchouameni minggu lalu.
Arbeloa menegaskan pemainnya tidak boleh mengalah walaupun perebutan kejuaraan sudah berakhir dan mahu pasukan menamatkan musim dengan profesional.
Untuk rekod, ia merupakan kali kedua dalam sejarah keputusan La Liga ditentukan secara langsung menerusi El Clasico, selepas Real meraih gelaran pertama mereka pada 1932 hasil keputusan seri menentang Barca.
“Gelaran ini lebih istimewa kerana kami menewaskan mereka di laman sendiri. Sekarang kami mahu menikmatinya bersama penyokong.
“Kami adalah pasukan terbaik di Sepanyol. Sudah tentu kami juga mahu memenangi Liga Juara-Juara dan itu sasaran kami musim depan,” kata pemain tengah Barca, Frenkie de Jong.
Disebalik kejayaan Barcelona, pengendalinya, Flick pula menerima berita sedih apabila bapanya meninggal dunia sebelum perlawanan, namun tetap berada di tepi padang untuk mengemudi kemenangan pasukan. – AGENSI/UTUSAN






