KUALA LUMPUR: Misteri penarikan diri pemain perseorangan lelaki negara, Justin Hoh daripada Kejohanan Badminton Terbuka Thailand akhirnya terjawab apabila dia direhatkan susulan prestasi kurang meyakinkan di Piala Thomas minggu lalu.
Pemain berusia 22 tahun itu yang layak ke undian utama kejohanan bertaraf Super 500 berkenaan membuat keputusan menarik diri sebelum proses undian dijalankan pada Selasa lalu.
Selepas hanya meraih satu kemenangan daripada empat perlawanan di Piala Thomas, ketua jurulatih perseorangan lelaki negara, Datuk Tey Seu Bock mengambil keputusan memberi ruang kepada Justin untuk menenangkan fikiran dan memulihkan semula keyakinannya.
“Saya bagi dia rehat supaya dia dapat kosongkan fikiran,” kata Seu Bock selepas sesi latihan di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara, semalam.
Langkah itu juga dilihat sebagai strategi Seu Bock untuk memastikan Justin kembali berada pada tahap terbaik menjelang Malaysia Masters 2026 yang dijadual berlangsung pada 19 Mei ini.
Seu Bock berharap tempoh rehat tersebut mampu membantu pemain kelahiran Kuala Lumpur itu bangkit semula, terutama apabila bakal beraksi di hadapan penyokong sendiri.
“Saya harap dia akan tampil lebih baik di Malaysia Masters,” katanya.
Penarikan diri Justin menyaksikan cabaran Malaysia dalam acara perseorangan lelaki di Bangkok kini hanya digalas dua pemain profesional negara, Lee Zii Jia dan Aidil Sholeh Ali Sadikin. – UTUSAN






