PETALING JAYA: Selangor FC akan menggunakan taktikal menyerang untuk memburu tikel ke pentas final Kejuaraan Kelab ASEAN (ACC) menjelang aksi separuh akhir kedua menentang Nam Dinh di Stadium Thien Truong, malam ini.
Skuad kendalian Kim Pan Gon membawa bekalan tipis selepas melakar kemenangan 2-1 ke atas wakil Vietnam itu pada aksi pertama di Stadium Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MBPJ) pada minggu lalu.
Menurut Pan Gon, fokus utama pasukan adalah untuk mengekalkan corak menyerang selain meletakkan harapan agar penyerang sensasi, Chrigor Moraes dapat meledak untuk melebarkan defisit jaringan.
Bekas pengendali Harimau Malaya itu berkata, barisan pemain juga perlu waspada dengan ancaman yang boleh diberikan pasukan tuan rumah kerana apa sahaja boleh berlaku dalam tempoh 90 minit.
“Saya tidak boleh jelaskan strategi penuh lagi kerana masih ada satu lagi perlawanan. Kita tahu Nam Dinh sangat kuat di tempat sendiri, jadi kami tidak boleh terlalu selesa.
“Kami jangka mereka akan menyerang habis-habisan, tetapi mereka juga perlu tahu kami ada penyerang dan pemain sayap berbahaya yang mampu menghukum mereka.
“Kami percaya kepada Chrigor. Pemain lain sentiasa cuba mencipta peluang terbaik untuk dia menjaringkan gol. Dia tidak pentingkan diri sendiri dan sentiasa membantu rakan sepasukan. Dia pemain yang hebat,” katanya.
Sementara itu, Chrigor yang meledak dua gol pada aksi pertama mengakui terdesak untuk membantu Selangor mengakhiri musim ini dengan menjulang trofi berprestij seperti ACC.
“Kami tahu perlawanan ini sangat penting untuk pasukan dan kelab, tetapi kami juga tahu ia bukan mudah.
“Ada sedikit tekanan kerana sudah lebih 10 tahun kami tidak memenangi trofi besar, tetapi kami sentiasa bersama dan kini hanya selangkah lagi ke final,” katanya. – UTUSAN






