PETALING JAYA: Pelumba berbasikal trek negara, Muhammad Shah Firdaus bangkit daripada kecederaannya untuk merangkul kejuaraan berganda menerusi acara keirin dan pecut individu pada Piala Trek Indonesia di Jakarta.
Atlet berusia 31 tahun itu diketepikan daripada perlumbaan sejak Oktober tahun lalu, membuat penampilan sulung di Piala Dunia Trek di Hong Kong, namun kayuhannya masih terbatas dan tidak melepasi pusingan awal.
Pengarah teknikal berbasikal kebangsaan, John Beasley berkata, gelaran ini memberi perkembangan positif menjelang Sukan Komanwel di Glasgow pada Julai ini serta Sukan Asia di Aichi-Nagoya pada September.
“Shah menghadapi kesukaran kerana dia terpaksa bersaing dalam kejohanan berintensiti tinggi di Hong Kong dan di Nilai. Shah tidak pun layak ke pecut individu di Hong Kong tetapi dia berjaya ke pusingan kedua di Nilai.
“Bagus melihat dia kembali di puncak dan ini baik untuk keyakinannya ketika kami perlahan-lahan membawanya kembali ke tahap seperti sebelum ini untuk Sukan Komanwel Glasgow dan Sukan Asia Aichi-Nagoya,” kata Beasley kepada Mingguan Malaysia.
Pada aksi di Velodrom Antarabangsa Jakarta, Shah menewaskan rakan sepasukan Muhammad Fadhil Zonis dan pelumba tuan rumah, Dika Alif Dhentaka untuk meraih emas di keirin dan pecut.
Lebih manis, ini merupakan gelaran pertamanya sejak lebih setahun lalu yang mana beliau menjuarai keirin pada Piala Negara-negara di Konya, Türkiye, Mac tahun lalu.
Dalam saingan keirin wanita, Malaysia menyapu bersih podium dengan Ann Tung Yong meraih emas manakala Nurul Aliana Syafika Azizan (perak) serta Ann Yii Yong membawa pulang gangsa.
Sementara itu, Nur Aisyah Zubir turut menampilkan prestasi membanggakan di Jakarta apabila meraih pingat perak dalam acara point race dan scratch di belakang pelumba Singapura, Valencia Tan. – UTUSAN






