LONDON: Mathys Tel menjadi wira dan juga pesalah apabila Tottenham seri 1-1 di laman sendiri menentang Leeds sekali gus menyebabkan masa depan mereka dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) terus tergantung.
Pemain Perancis itu memecah kebuntuan awal babak kedua untuk meredakan tekanan, namun kemudian menghadiahkan penalti selepas kesilapan mengeluarkan bola secara berbahaya.
Pada minit-minit akhir, Spurs berterima kasih kepada Antonin Kinsky yang melakukan satu aksi menyelamat luar biasa untuk menghalang kemenangan pasukan pelawat.
Tottenham kini dua mata di depan West Ham United di tangga ke-18 dengan hanya dua perlawanan berbaki musim ini.
The Hammers tewas 1-0 kepada Arsenal, Ahad lalau, keputusan yang menjamin keselamatan Leeds dan Nottingham Forest serta menyaksikan Spurs dan West Ham bersaing untuk mengelak slot penyingkiran terakhir.
Wolverhampton Wanderers dan Burnley sudah pun tersingkir.
Pengurus Spurs, Roberto De Zerbi, yang baru tiba akhir Mac lalu, berjanji pemainnya akan berjuang hingga ke penghujung.
“Ketika kami kalah kepada Sunderland, mustahil untuk membayangkan kami akan berada dua mata di atas zon penyingkiran dengan dua perlawanan berbaki,” katanya.
“Kini kami perlu positif dan terus bekerja. Kami mempunyai kualiti untuk mendapatkan lagi mata dan kekal dalam liga. Saya rasa kami layak untuk kekal. Kami akan berjuang hingga ke penghujung,” katanya.
Tottenham memasuki perlawanan semalam dengan hanya dua kemenangan di laman sendiri dalam liga sepanjang musim ini. – AFP/UTUSAN




