BAI’AH talak tiga pernah diperkenalkan oleh Pas khusus untuk negeri Kelantan sahaja.
Formula Pas untuk mengekang lompat parti dalam kalangan wakil rakyat parti itu muncul apabila Pas Kelantan dalam satu pilihan raya umum (PRU) berada dalam keadaan genting. Ia sehingga memaksa menteri besar ketika itu, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat memasukkan kandungan sumpah bai’ah yang boleh menggugurkan talak (tiga) ke atas isteri calon-calon Pas yang berhasrat menyeberang ke parti lain.
PRU ke-11 pada 21 Mac 2004 itu menyaksikan setelah 14 tahun memerintah Kelantan, Pas melalui episod paling getir dalam sejarah memasuki penggal ketiga pentadbirannya di negeri itu. Dalam PRU tersebut, Pas hanya dapat mengekalkan kuasa dengan majoriti tipis sebanyak dua kerusi, iaitu 24 kerusi Pas berbanding 21 kerusi UMNO/Barisan Nasional (BN). BN yang diterajui Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi ketika itu memenangi 198 kerusi parlimen berbanding cuma 20 kerusi diraih gabungan parti pembangkang, dengan satu calon bebas. Ia merupakan majoriti terbesar diperoleh BN sejak pilihan raya 1978.
Lompat parti suatu bahana bukan sahaja kepada parti politik pelompat itu sendiri, tetapi negara kerana amalan rasuah atau urusan jual beli wakil rakyat bermaharajalela.
SEWENANG-WENANG LOMPAT
Bayangkan orang seperti Jamawi Jaafar, antara 14 wakil rakyat yang menumbangkan kerajaan Parti Warisan Sabah (Warisan) `boleh sewenang-wenang melompat’ sehingga membawa pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Julai 2020.
Jamawi yang asalnya ADUN UMNO tetapi lompat ke Warisan namun kembali bersama parti asal adalah antara kalangan ADUN daripada kerajaan Warisan Plus yang menyokong bekas Ketua Menteri Tan Sri Musa Aman. Musa bagaimanapun gagal mengemukakan rayuan kepada Yang Dipertua Negeri pada 29 Julai lalu agar DUN Sabah tidak dibubarkan.
Suatu ketika pada 1986, Parti Bersatu Sabah (PBS) pernah menggubal undang-undang anti lompat parti. Matlamat PBS adalah melarang mana-mana wakil rakyatnya daripada bertukar parti atau wajib mengosongkan kerusi bagi memberi laluan kepada pilihan raya kecil.
Tetapi undang-undang yang dibuat oleh parti itu dicabar di mahkamah. Dan akhirnya Mahkamah Tinggi mengisytiharkan undang-undang itu melanggar perlembagaan. Kesannya, amalan lompat parti kembali muncul dalam politik Sabah dengan PBS sendiri menjadi mangsanya.
Ini apabila kerajaan yang dipimpinnya jatuh tidak lama selepas pilihan raya negeri 1994. Tindakan keluar beramai-ramai wakil rakyatnya yang kemudian menubuhkan parti-parti baharu dan menyertai BN akhirnya menyaksikan BN mengambil alih kerajaan PBS.
Demikianlah juga pada 1959. Kerajaan Pas Terengganu yang dibentuk tidak dapat bertahan lama kerana pada 30 Oktober 1961, Perikatan telah membawa usul undi tidak percaya dan disokong oleh tiga ADUN Parti Negara. Di Sarawak pada 1966 dan Perak (2009), mandat rakyat
BN yang memenangi 79 kerusi semasa PRU14, hanya tinggal 41 kerusi selepas ramai wakil rakyatnya meninggalkan parti dan menyertai parti lain. UMNO, tonggak gabungan itu yang paling banyak kerusi parlimen iaitu 54 pun kini berbaki 38 kerusi.
Sukar sekali mahu mengekang tindak tanduk lompat parti ini.
Keputusan Mahkamah Agung kira-kira tiga dekad lalu menyebabkan parti-parti politik era moden sukar memaksa wakil rakyat mereka mengosongkan kerusi jika memilih meninggalkan parti.
Dalam kes pada 1992, Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan lawan Nordin Salleh, Mahkamah Agung diketuai Tun Hamid Omar telah menegakkan keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Eusoffe Chin untuk membatalkan peruntukan perlembagaan Kelantan yang mewajibkan pilihan raya kecil sekiranya seseorang ADUN meninggalkan parti.
Dengan itu diputuskan bahawa peraturan Pas yang menghalang Nordin, bekas wakil rakyatnya melompat parti, telah melanggar Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan yang menjamin kebebasan berpersatuan.
BERAKHIR
Maka membawalah hingga sekarang sebarang langkah untuk parti politik memaksa wakil rakyat mereka mengosongkan kerusi adalah tindakan tidak mengikut perlembagaan walaupun terdapat perjanjian antara parti politik dan wakil rakyat itu sebelum ini.
Tetapi Alhamdulillah syukur segalanya sudah berakhir buat pelompat parti. Ini apabila Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 berkaitan larangan Ahli Parlimen bertukar parti diluluskan oleh Dewan Rakyat, disusuli secara muktamadnya di Dewan Negara Selasa 9 Ogos lalu. Selepas 30 tahun, kerajaan akhirnya meluluskan undang-undang yang menghalang wakil rakyat bertukar parti atau menjadi wakil bebas. Ahli Parlimen yang melompat parti ke parti politik lain di dalam gabungan sama atau berbeza akan terlucut keanggotaannya sebagai ahli Dewan Rakyat.
Dengan penguatkuasaan akta antilompat parti ini, dipercayai satu-satunya parti yang solid untuk memenangi sejumlah besar kerusi Parlimen dalam PRU15 nanti hanyalah DAP.
Dalam PRU14, DAP memenangi 42 daripada 47 atau 89 peratus dari kerusi Parlimen yang ditandingi. PH yang disertai DAP turut berjaya menawan kebanyakan negeri dengan memenangi 257 kerusi DUN daripada 530 kerusi yang ditandingi kecuali, Kelantan, Terengganu yang ditawan oleh Pas dan Pahang dan Sarawak dikekalkan oleh BN.
Jumlah undi popular BN pula dikesan merosot daripada 46.7 peratus (PRU13) kepada 33.9 peratus, manakala PH mampu mengekalkan undi popularnya (50.1peratus).
Adakah semua parti politik sudah bersedia untuk masuk gelanggang PRU15 yang disifatkan banyak pihak sebagai “paling getir, pedih dan mendebarkan”?
Eh! bukankah PRU14 tempoh hari juga dilabelkan `ibu segala pilihan raya’ yang menyaksikan Malaysia buat pertama kali dalam sejarah bertukar kerajaan yang berkuasa selama enam dekad? Apa cerita dah?
Realitinya, PRU15 memang paling sengit dan getir dalam sejarah pilihan raya moden kerana kalau mana-mana calon parti menang kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri, dia memang menang sungguh.
Tidak terfikir dalam kepala mahu lompat-lompat. Itu luar biasanya PRU15 kali ini.






