HARI ini tahun 2022 sesiapa pun boleh melihat politik Malaysia terus didominasi oleh orang sama.
Balik balik dia, balik balik dia. Tidak ada orang lain. Macam tukar-tukar baton pula.
Tidak mungkin politik Malaysia boleh maju kalau personaliti yang sama masih berada dalam lapangan ini. Mengapa tidak berjiwa besar? Berehat, berundur dengan memberi laluan kepada barisan pelapis?
Ada yang puluhan tahun masih lagi tersekat untuk menggapai cita-cita berjawatan Perdana Menteri, tetap terus ‘mengaum’.
Lim Kit Siang berundur pada usia 81 tahun setelah 56 tahun bergelumang politik. Tetapi masih ada parti mengharapkan supremo politik tertentu untuk memastikan survival parti itu. Sayangnya hari ini drama kemelut politik tanah air masih terus dimainkan oleh ‘tok-tok dalang’ ini.
Mungkin ramai sudah meluat kerana semua ini memberi mesej yang salah kepada rakyat Malaysia, khususnya orang muda. Kata mereka, “sekarang yang kita ada hanyalah kepimpinan politik yang dimakan usia”
Tidak ramai kalangan anak muda terutama yang lahir dalam 1990an atau lebih khusus lagi 1.2 juta pengundi berumur 18 hingga 20 tahun mengenali orang-orang lama ini. (Daftar Pemilih Tambahan Mei 2022 direkodkan 16 Jun lalu menyaksikan jumlah pengundi dalam PRU15 sebanyak 21,113,234 orang)
Dalam konteks kriteria calon bertanding, parti-parti politik perlu menetapkan piawaian tinggi – faktor “sure menang” ini akan diambil perhatian kerana yang hendak dipilih ini bukannya wakil parti, tetapi wakil rakyat.
Suasana politik kini sudah berubah. Trend dan tingkah laku pengundi berfikir turut bertukar. Jika pemilihan calon pilihan raya menggunakan kaedah lama dan masih tidak berubah, jangan sampai nanti parti yang rebah.
Calon yang mempunyai persona dan karakter pasti menang. Maka, semua parti perlu mengambil sikap ‘ukur baju di badan sendiri’. Seseorang yang tidak berpotensi tinggi untuk menang tidak perlu terkejar-kejar melonjakkan diri untuk dipilih.
BAKAT MUDA
Yang menarik untuk ditonton dalam gelanggang PRU15 ini ialah keberanian parti menampilkan bakat-bakat muda dengan daya kepimpinan yang segar dan dinamik. Ini relevan dalam landskap politik semasa yang dipengaruhi laman-laman sosial mengelilingi orang muda. Calon baharu dan muda walaupun tiada track-record untuk dinilai, boleh mencetuskan kebangkitan kesedaran politik era sekarang.
Mutakhir ini setelah rakyat terpaksa melalui liku-liku kemelut ekonomi dan politik tidak berkesudahan, padahal dua kerajaan tempoh hari terutamanya Pakatan Harapan dan Perikatan Nasional itulah digantungkan harapan, kita sebenarnya sudah ada bibit-bibit hilang keyakinan. Dengan simptom sebegini, rakyat mempersoalkan relevan lagikah pemimpin-pemimpin politik sedia ada ini?
Ada bertanyakan, macam mana Malaysia mahu bergerak ke hadapan sekiranya ahli-ahli politik yang ada masih berlegar-legar dalam arena politik hari ini? Bolehkah generasi pemimpin lama ini ‘mengadaptasinya’?
Jika pendekatan-pendekatan untuk golongan muda lingkungan 18 hingga 30an hari ini dipraktikkan, adakah mereka masih mahu ikut acuan pemimpin-pemimpin zaman 80an?
Pernah akhbar ini diajukan dengan satu mesej WhatsApp yang mencabar supaya membalas hujah sang penghantarnya. Begini bunyinya:
“Nama-nama pemimpin politik ini saya sudah baca kat (di) surat khabar sejak saya sekolah menengah lagi. Sekarang saya sudah ada cucu. Masih lagi nama-nama mereka, si polan, si polan dan seterusnya.
“Dan masa sekolah dulu-dulu, pastinya kita ingat nama dua orang Presiden Amerika ialah Ronald Reagan dan Jimmy Carter. Di UK, Perdana Menterinya Margaret Tatcher. Di Indonesia, Suharto. Di Filipina, Marcos. Di India, Indira Ghandi. Singapura Lew Kuan Yew. Di Jepun, Nakasone. Di Mesir, Anwar Sadat.
LAMBAT
“Hari ni dalam pentas politik dunia, orang sudah tidak sebut nama-nama ini semua. Mereka sudah terlalu usang. Ramai yang sudah tidak ada pun. Tapi di Malaysia masih lagi dengan nama-nama yang sama memenuhi ruang laman sosial, akhbar dan media elektronik berbicara pasal politik negara.
“Nampakkah betapa lambatnya politik negara kita ini bergerak. Macam sudah tidak ada orang lain.”
Demikian hujah sang penghantar.
Saya merumuskan begini hujahnya: Isu pemilihan sama ada calon warlords atau calon mudakah oleh parti-parti politik bukanlah perkara baharu dalam dua siri pilihan raya umum lepas, 2018 dan 2013. Walaupun masih belum diuji kemampuan dan kekuatannya, pengaruh calon baharu dan muda dalam politik amat signifikan dan perlu.
Warlords atau ‘otai-otai’ politik sebenarnya sudah mempunyai track-record dan masak dengan permainan politik. Tidak dapat dinafikan, ada warlords yang berwibawa dan berpengalaman.
Walau siapa pun yang terpilih menjadi calon dalam PRU15, kena akui perkembangan politik era digital kini memberi cabaran besar akan kewibawaan politik, baik sang warlords atau muka baharu.
Jadi, bagaimanakah cara untuk mendekati dan meyakinkan pengundi, seterusnya menang?
“Anda di luar politik tidak faham politik, hanya orang politik faham bidang ini. Logik yang diterima secara am, kadang kala dalam politik tiba-tiba tidak logik lagi.
“Kalau berani, masuklah politik,” demikian saya diingatkan oleh seorang pemimpin sebuah parti politik tempoh hari. – Mingguan Malaysia






