TAHNIAH kepada parti pemenang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Tanggungjawab besar menanti pemimpin parti yang dipilih untuk Kabinetnya nanti menunaikan janji-janji kepada rakyat seperti terkandung dalam manifesto.
Selepas rakyat memberi mandat demokrasinya semalam 19 November 2022, pemain politik jangan lagi bermain politik sangat dalam situasi menghadapi kelembapan ekonomi dijangka dalam suku pertama 2023. Itu belum lagi bab bah yang telah pun mendatangkan banjir kilat, sebelum menyusul kewaspadaan musibah dalam seminggu dua ini.
Semua wakil rakyat kena beringatlah bahawa Dewan Rakyat bertuah ini kalau tidak kena gaya juga akan dilupakan asal usul dan martabatnya.
This is the house that Jack built. Ini bukan rumah yang dibina oleh Dr Jekyl.
Berpeluangnya kita bertikam lidah di situ; berpeluangnya kita buat perangai dan melahirkan tindak tanduk perundangan dan politik, Dewan Rakyat tetap dalam penyaksian setiap keping atapnya, setiap benteng dindingnya dan setiap batang tiang serinya.
Tanpa kepentingan rakyat diutamakan, dewan seolah-olah tidak lagi beratap, tidak lagi berdinding dan tidak lagi bertiang seri. Kalau ibarat kuda, ia sudah hilang pelana. Kalau ibarat raja, ia sudah kehilangan mahkota.
Ketidaktentuan ekonomi
Dan salah satu cabaran terbesar parti pemerintah yang baharu ini adalah menangani ketidaktentuan ekonomi yang tiada jawapan pintas. Campur tangan yang diperlukan semuanya memakan masa –
baik dalam meningkatkan pendapatan rakyat dengan membina sistem pendidikan yang menawarkan kemahiran lebih berharga, mencipta peluang pekerjaan dengan gaji yang lebih tinggi dan membina lebih ramai usahawan kecil yang dapat menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan.
Demikian juga kerajaan terpaksa berdepan daya saing meningkatkan pelaburan infrastruktur seperti pengangkutan awam, internet pantas dan perumahan mampu milik, agar kos harian rakyat dapat dikurangkan.
Cabaran kehidupan sehari-hari menyebabkan angka kejayaan makro ekonomi kurang bererti buat sebahagian rakyat. Ada yang terpaksa berhutang untuk sesuap nasi. Ada yang simpanannya tak seberapa, runsing jikalau ‘hujan di tengah hari’. Ada yang risau tentang nasib keluarga dan hari esok kerana gaji masih rendah atau masih mencari kerja. Ada rakyat yang terpaksa jual rumah, terpaksa tambah hutang, terpaksa ikat perut hanya untuk melalui kehidupan hari demi hari.
Kesilapan lalu
Segala tiang dalam sebuah struktur ekonomi yang inklusif jika tidak dirangka secara serius dan teliti, hanya akan mengulangi kesilapan lalu.
Kita tidak mahu kerajaan yang terlalu beria-ia mengejar gah semasa, sehingga kabur pandangannya untuk masa depan.
Kesilapan di mana kita mendabik dada dengan pelaburan projek mega di bandar besar – yang dikejar hanya output nya sahaja, struktur cantik dan megah. Dan tanpa memperkasa rakyat dari segi kemahiran, pendidikan dan macam-macam lagi untuk hidup selesa di hari mendatang.
Walaupun Malaysia gah ketika itu, kesannya begitu dirasai sekarang. Rakyat perit hari ini lantaran tidak cukup dipersediakan. Kesilapan ini yang sedang kita perbetulkan agar anak cucu kita tidak serupa nasibnya.
Kata Ibnu Khaldun: “He who finds a new path is a pathfinder, and he who walks far ahead of his contemporaries is a leader, even though centuries pass before he is recognised as such.”
Maksudnya: Barangsiapa yang meneroka jalan baharu, yang berani melangkah jauh ke hadapan mendahului generasinya, dialah pemimpin yang sebenar, walaupun hakikat itu hanya akan terbukti nanti.
Pujangga mengungkapkan– dunia ini bukan hanya diwariskan oleh generasi terdahulu tetapi juga dipinjamkan kepada kita oleh generasi hari esok.
Dalam mendepani cabaran hari ini, jangan hanya memilih penyelesaian jangka pendek yang bukan hanya meloloskan diri kita sendiri, tetapi meninggalkan beban hutang yang bakal menyepit dan menjadi musibah untuk generasi seterusnya. – Mingguan Malaysia






