LARI dari kebiasaan. Perbetulkan yang biasa, biasakan yang betul. Bukan lagi operasi macam biasa. Tidak ada pendekatan business as usual, sebaliknya pendekatan yang berbeza untuk mengukuhkan ekonomi negara.
Demikian praktis kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim. Antara yang ketara, tiada lagi program besar untuk penyerahan ‘atas pentas’ Bantuan Awal Persekolahan (BAP 2023).
Cukup dengan kerajaan diketuai perdana menteri keluarkan kenyataan media dan program BAP 2023 itu berlaku seadanya dan sepatutnya.
Hari ini didapati tiada lagi logo parti kerajaan, waima wajah pemimpin dicop di sampul atau pada sekampit beras 5 kilogram atau 10 kilo sumbangan kerajaan kepada rakyat.
Cara begitu sudah ketinggalan zaman. Bikin orang menyampah. Tidak perlu mempromosi diri kerana semua maklum itu bukan duit empunya diri, tetapi duit kerajaan. Bila tidak berlebih-lebih, kepercayaan rakyat kepada pemimpin akan terbina dengan sendiri. Kurangkan bercakap, banyakkan lagi buat kerja.
Nanti bila tiba waktu dan ketikanya di hari perhitungan pilihan raya, pengundi akan menilainya. Usah ragu-ragu atau risau, jika anda berjuang mahu menjadi Yang Berkhidmat, bukan Yang Berhormat, undi pasti hinggap ke anda.
MELAYU RUGI
Anwar waktu ini memberi komitmen penuh untuk menggerakkan kerajaan dengan cara mengurangkan kerenah birokrasi. Pendekatan berbeza beliau bermatlamat untuk terus menggarap dan membawa Malaysia ke aras tinggi, sekali gus dihormati rakyat sendiri dan masyarakat antarabangsa.
Apabila turun ke negeri, yang pertama-tama dilakukan beliau adalah menghadap Sultan, Raja dan Tuan Yang Terutama. Nampaknya tidak perlu sangat laungkan soal ketuanan beria-ia. Cukup dengan mendulukan majlis menghadap, tanda hormat sekali gus memberi gambaran dan teladan berguna kepada generasi muda keperluan mempertahan dan mengekalkan demokrasi berparlimen Raja Berperlembagaan.
Di atas kertas, orang Melayu sebenarnya sudah rugi selama empat tahun sejak 9 Mei 2018 akibat asyik berpolitik. Ini bukan tempoh singkat sehingga bergilir tiga PM. Ketika politik Melayu bersengketa, negara-negara tetangga sudah memacu jauh hingga ketinggalan kita.
Meskipun selepas berlalu PRU pada 19 November tahun lalu, masih gian lagi orang kita berpolitik sana sini. Kalau pergi satu persatu pada setiap parti, PKR, DAP, Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sudah pun menyelesaikan pemilihan parti mereka masing-masing. Lepas pemilihan, mereka akur pada keputusan. Yang belum selesai lagi bab ini parti mana? UMNO lah.
UMNO masih dengan ‘ribut dalam cawan’ yang air kopinya terpercik keluar sukar ditampung. Presidennya tidak sekadar menghadapi tentangan dari dalam sahaja, malah penangannya maha cukup hebat dari luar.
Yang hairannya, parti-parti lain juga Melayu, tetapi tidak pula sehiruk-pikuk UMNO. Dibantai presiden waktu kempen PRU untuk ‘menjamin’ kemenangan kerusi ditandingi, namun gagal.
Malang sekali akibat tiada kematangan itu, habis sebahagian besar calon UMNO di kerusi-kerusi lain terkena tempias, dari ‘isu imej dan integriti’ dibangkitkan oleh calon parti sendiri.
Tidak cukup itu, selepas dia kalah, masih terus berpolitik memanjang. Kalau parti lain, mahu sahaja mereka selesai secara dalaman sahaja atau digantung keahlian parti.
TERSESAT
Inilah bahananya apabila sebahagian politikus Melayu sukar menilai keberadaan mereka dalam lapangan itu tujuannya untuk apa. Ada kalangan mereka hanya memandang kepada kepentingan haluan politik peribadi, bukan kepada kebaikan perjuangan bangsa.
Tentunya ini pendirian yang tersesat dalam perjuangan, seolah-olah tiada langsung menerima prinsip Islam. Kalau sudah rasuah itu dilabelkannya ‘sedekah’, apa yang hendak dikatakan lagi.
‘Ketakutan’ mereka hanya terhadap kemungkinan hilang tempat atau pangkat dalam parti, bukannya terhadap kemungkinan bangsa akan jadi lemah jika berbalah dan berpecah.
Inilah penyakit tenat dan berat kalangan pemimpin Melayu dan konon berideologikan Islam gara-gara mahu bercucuk radak mengatasi pemimpin lain.
Sedangkan kalau pergi ke matlamat hidup yang luhur dan tahu pengakhiran kita, tidak sepatutnya Melayu bersengketa kerana kebolehan serta tahap pencapaian masing-masing tidak mengharuskan mereka berlumba-lumba. Tetapi ego politik sentiasa mengatasi fiil positif yang lain hingga ramai yang lupa diri. Mereka lupa daripada mana mereka berasal. Apa sebenarnya yang dikatakan perjuangan.
Rakyat tidak pandai berfalsafah dengan teori-teori pelik. Mereka mahu “duit di tangan dapat beli keperluan hidup”. Rakyat mahukan kesejahteraan ekonomi, pendidikan dan sosio-politik yang harmonis.
Melayu dan Bumiputera Sabah dan Sarawak tentunya tidak mahu hak-hak perlembagaan mereka disentuh dan disusutkan. Masyarakat Cina dan India pula mahu hak mereka sebagai rakyat diambil kira dalam penggubalan dasar-dasar utama.
Mengadun ini semua perlukan seni dan keupayaan memerintah dan mentadbir. Bak kata pepatah Melayu “alah bisa, tegal biasa”. Apa saja yang sukar jika diberlatih, lama kelamaan akan menjadi mudah jua.
Tiada perkara yang dipandang terlalu mustahak atau terlalu remeh untuk diketepikan selagi yang dibangkitkan berkait kesejahteraan rakyat dan negara.
Adakah Anwar berupaya menggunakan peluang ini? Perlu naratif dan ada ceritanya.






