SETELAH dipertikai kesetiaan kepada Malaysia dari segi pengetahuan baik dan penguasaan tinggi terhadap bahasa negara, yang tidak fasih berbahasa Melayu mempertahankan diri bahawa mereka tetap patriotik kepada Malaysia sebagai tanah air, meskipun keadaannya sebegitu. Dalam pada ini, hubung kait antara bahasa negara dengan patriotisme pernah dibangkitkan kerajaan sejurus sahaja negara ini ditubuhkan.
Ia menegaskan bahawa rakyat khususnya bukan Melayu pasti akan mempelajari bahasa Melayu sehingga berjaya jika mereka mempunyai kesetiaan kepada negara ini. Sudah lebih dari enam dasawarsa kenyataan rasmi ini dibuat, nampaknya ia masih relevan diulangi kini.
Ini kerana masih terdapat ramai yang mempunyai masalah linguistik ini. Sebenarnya perkara sebegini tidak berlaku di mana-mana negara lain, apatah lagi setelah lebih dari setengah abad tertubuhnya negara.
Ia hanya berlaku di Malaysia walaupun dengan persekitaran bahasa negara yang begitu agam dalam pelbagai bentuk, daripada bahasa pasar yang jelik sehinggalah indah pada pelbagai larasnya.
Namun, ia langsung tidak dimanfaatkan bukan Melayu untuk memperbaiki kemahiran berbahasa Melayu mereka agar fasih.
Sehubungan semangat cintakan negara ini, ia sebenarnya amat kompleks sifatnya dengan ruang lingkup yang luas pula. Ini dapat dilihat pada takrifannya yang bermacam-macam.
Walaupun begitu, secara asasnya patriotisme yang merupakan keterikatan budaya oleh rakyat kepada negara sesungguhnya adalah kecintaan dan kesetiaan mereka kepada negara sebagai tanah air. Dengan ini, wajib ada keazaman kental pada setiap rakyat untuk menyokong negaranya pada setiap masa agar ia terus maju dari segenap segi.
Ini antaranya hendaklah dilakukan dengan menyokong setiap dasar negara. Untuk bahasa, ia tidak lain dan tidak bukan adalah dasar bahasa kebangsaan kita.
Bahasa Melayu selaku bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi adalah bahasa pengantar utama dalam sistem pendidikan negara, selain sebagai bahasa pentadbiran kerajaan tunggal untuk segala urusan urus tadbirnya.
Patriotisme dalam kalangan rakyat Malaysia seharusnya diperkuat oleh bahasa Melayu selaku bahasa negara, khususnya dalam peranannya sebagai bahasa kebangsaan yang merupakan bahasa milik bersama semua rakyat. Bagi tujuan mempermudah keterikatan sentimental semua etnisiti kepada negara ini, ia pernah cuba diberi nama nasional sebagai Bahasa Malaysia.
Ini dilakukan sedemikian semata-mata untuk menggabungkan keperluan penyatuan rakyat pelbagai etnisiti dengan keperluan memiliki warisan budaya watan sendiri. Dengan ini, nama Bahasa Malaysia antaranya adalah untuk melancarkan di samping mempertingkat usaha pembentukan negara bangsa.
MEKANIK CINA
Dengan masih adanya rakyat dalam kalangan golongan muda dan ramai pula bilangannya yang tiada kemahiran berbahasa Melayu walaupun setelah melalui sistem pendidikan negara, tidak keterlaluan dikatakan kita telah gagal pada aspek ini dalam membentuk negara bangsa.
Oleh itu, kita sangat memerlukan usaha pembentukan semula bagi menangani masalah linguistik ini yang sebenarnya sudah amat lama berlarutan. Secara umumnya kemahiran berbahasa negara dengan baik diukur dari segi kedudukan sosial seseorang itu.
Dalam hal ini, seorang mekanik Cina yang keciciran pada darjah enam, tidak mungkin boleh diharapkan fasih berbahasa Melayu persuratan. Hal ini berlainan sekali dengan seorang wakil rakyat bukan Melayu dan berpendidikan tinggi yang diperoleh dalam negara pula.
Untuk ini, beliau wajib mahir berbahasa Melayu persuratan. Malangnya ia tidak selalunya begitu.
Hakikat masalah linguistik ini amat disedari etnik Cina sendiri akan kesan buruknya apabila mereka ke hospital awam. Mereka yang tidak boleh berkomunikasi dengan baik selain dalam bahasa Mandarin sahaja, menghadapi banyak kesulitan ketika menerima rawatan.
Untuk mengatasinya, pernah parti politik Cina tertentu memulakan kelas bahasa Mandarin untuk staf sebuah hospital agar jurang komunikasi itu dapat diatasi. Sudah tentu ini bukan sesekali caranya.
Ini kerana menjadi kelebihan sahaja kepada staf hospital bukan Cina mengetahui bahasa Mandarin, tetapi adalah kewajipan harus bagi rakyat Malaysia untuk cekap berbahasa negara. Seperkara penting dalam hal ini, apa pendirian kerajaan semasa, iaitu adakah mereka juga seperti sebelum ini, cuba elak daripada menangani masalah linguistik ini?
Masalah ini sudah lama disembunyikan sedangkan ia isu nasional yang ada banyak implikasinya, khususnya negatif kepada pembangunan negara, lebih-lebih lagi yang sosial sifatnya. Untuk ini, sudah tiba masanya satu transformasi sosial dilakukan bagi menstruktur semula sesetengah aspek kehidupan nasional kita yang didapati sudah amat jauh tersasar daripada matlamat asalnya.
Sehubungan ini, menjadi tanggungjawab kerajaan semasa untuk membawa perubahan sosial dengan kadar cepat agar masalah linguistik ini bukan sahaja wajib diselesaikan secepat mungkin. Tetapi lebih penting lagi ialah akhirnya ia berjaya dibereskan sepenuhnya setelah gagal diuruskan semenjak sekian lama.
Perubahan ini sangat diperlukan kerana ia pasti akan mempunyai kesan besar sangat positif sifatnya ke atas negara, iaitu bahasa watan sebagai bahasa negara dan institusi sosial, yakni pengetahuan baik dan penguasaan tinggi terhadap bahasa Melayu oleh setiap rakyat Malaysia. – UTUSAN
PROFESOR Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong ialah Felow Majlis Profesor Negara (MPN) dan Institut Masa Depan Malaysia (MASA).






