BIASALAH, bila tiba musim perayaan ini, sudah pasti geng bujang sudah bersiap sedia dari segi mental dan emosi dengan 1,001 jawapan jika ditanya bila mahu menamatkan zaman bujang. Bagi pasangan yang masih belum dikurniakan rezeki anak pula, juga bakal berdepan pertanyaan panas, malah ada pula golongan mak cik kepoh memberi pelbagai tip kesuburan.
Bagi yang masih muda dan memiliki bilangan anak sedikit, hanya mampu menjawab, “Belum ada rezeki nak tambah anak” atau “Kos sara hidup tinggi sekarang ini, mana mampu nak tambah lagi” apabila setiap kali diajukan soalan sensitif.
Walaupun soalan-soalan ini nampak ringkas dan sekadar inti pati perbualan, namun ia amat makan dalam bagi mereka yang berada dalam situasi ini. Kadangkala golongan mak cik bawang ini agak melampau sehingga menyentuh privasi seseorang.
Ada pula yang membandingkan anak mereka dengan anak adik-beradik lain dari segi kerjaya, pendapatan, kemewahan dan sebagainya sehingga menyebabkan seseorang tertekan dan memilih untuk tidak pulang beraya di kampung halaman seperti zaman kanak-kanak mereka.
Tidak cukup soalan pasal jodoh, anak dan kerja, ramai dalam kalangan kita juga berdepan pertanyaan atau sindiran berkaitan paras rupa dan bentuk badan. Biasalah, bila berkumpul ramai-ramai, banyak cerita akan didengar termasuk gosip atau mengumpat. Dan disebabkan perkara-perkara inilah menyebabkan nikmat Hari Raya Aidilfitri yang sepatutnya untuk mengeratkan silaturahim dikeruhkan dengan ‘mulut puaka’ mak cik bawang.
Justeru, penceramah dan pendakwah bebas, Mohd. Safwan Syafiq Mohamad Idris menasihati seluruh umat Islam agar mengingati tujuan asal Hari Raya Aidilfitri. Beliau memberitahu, sambutan Hari Raya Aidilfitri bertujuan menyambut kemenangan setelah berjaya berpuasa selama sebulan di bulan Ramadan.
Jadi, jangan jadikan pengorbanan dan amalan-amalan baik yang dilakukan selama sebulan itu tercemar pada 1 Syawal dengan melakukan perkara-perkara buruk seperti mengumpat dan mempersendakan orang lain sedangkan masa inilah paling dinantikan terutama bagi keluarga, sanak saudara dan rakan taulan untuk berkumpul, bermaafan dan beramah mesra.
Rasulullah SAW bersabda, “Seorang Muslimin yang baik adalah yang menyelamatkan saudara Islam-nya daripada kejahatan lidah dan tangannya.”
Kadangkala lidah yang tidak bertulang ini, kesannya lebih teruk daripada luka luaran apabila ia disalah guna. Justeru, berfikir terlebih dahulu akan kesan terhadap setiap perkataan yang dituturkan kepada orang sekeliling.
Dalam pada itu, menjaga perasaan orang lain dalam keseronokan berjumpa sanak saudara dan kenalan adalah amat wajar, bahkan perkara ini juga dituntut dalam Islam.
Sabda Rasulullah SAW, “Tidak beriman seseorang sehinggalah dia menyayangi saudaranya seperti dia menyayangi dirinya sendiri.”
Ini bermakna, jika kita tidak suka diperlakukan sesuatu yang kurang baik, maka janganlah pula membuat perkara tersebut kepada orang lain. Jika mahu dihormati, kita perlulah menghormati. Nak disayangi, kita perlulah menyayangi. Ia bersifat dua hala.
JANGAN LAYAN
Benar kalau ikutkan hati sebagai seorang manusia yang mempunyai hati dan perasaan, mestilah sedikit sebanyak terlintas untuk membalas semula pertanyaan mereka dengan cara yang sama atau lebih sarkastik tapi dalam masa sama kita perlu meletakkan diri kita satu tahap lebih tinggi daripada geng makcik bawang. Kita harus lebih bijak dan sudah membuat persediaan mental.
Ini bagi memastikan kita tidak akan terlalu emosi atau bersedih apabila berdepan mereka selain cuba berfikiran positif dengan menganggap soalan-soalan panas tersebut sekadar mengambil berat dan ingin memulakan perbualan. Bersabarlah apabila berdepan situasi ini.
“Satu perkataan yang mudah disebut, tetapi susah untuk dibuat. Pesanan bersabar inilah antara yang diperintahkan oleh Allah SWT dalam al-Quran dan yang diingatkan oleh Nabi Muhammad SAW,” ujar Mohd. Safwan Syafiq.
Katanya yang memetik sabda Rasulullah SAW, “Mereka yang kuat bukanlah yang menang ketika bergusti, namun mereka yang dapat mengawal amarah.”
Mengulas lanjut, Mohd. Safwan Syafiq memberitahu, dalam pertemuan yang hanya setahun sekali ini, kita tidak boleh lari daripada soalan-soalan panas tetapi janganlah terlalu memikirkan dan terlalu mengambil berat mahupun serius terhadap pertanyaan tersebut, sebaliknya cuba menjawab dalam keadaan bersahaja. Mungkin soalan-soalan mak cik-mak cik bawang bukan untuk membuatkan kita terasa hati, namun sekadar memeriahkan suasana atau menjadi topik perbualan.
Namun, sekiranya terasa panas dengan pertanyaan itu, maka lebih baik menjauhkan diri daripada mereka yang memberikan pengaruh atau kesan negatif kepada diri. Bukan bermaksudnya kita melarikan diri tetapi memberi peluang kepada diri sendiri untuk bertenang daripada berdepan soalan-soalan yang mungkin boleh membuatkan kita terasa hati dan marah. Tidak perlu berdebat atau bertikam lidah lebih-lebih lagi dengan mereka yang sejenis tidak menerima pendapat orang lain dan jenis ‘tidak makan saman.’
Sabda Rasulullah SAW, “Allah menjanjikan syurga buat mereka yang menjauhi debat kusir (debat berpanjangan) biarpun mereka berada di atas jalan kebenaran.”
Oleh itu, meriahkan sambutan Hari Raya Aidilfitri ini dengan hanya perkara yang manis-manis supaya ia boleh menjadi antara kenangan terindah dalam hidup tanpa menyibuk tepi kain orang lain. Jaga diri, pandu kenderaan berhati-hati serta
Selamat Hari Raya Aidilfitri, maaf zahir dan batin. – UTUSAN
PENULIS ialah wartawan Nexbyte.






