‘RAYA’ sebenar bagi orang politik di negara ini adalah enam pilihan raya negeri (PRN) yang bakal menyusul sebulan dua ini. Khabarnya selewat-lewat Jun atau awal Julai ini.
‘Raya’ yang perkataannya petikan seganda itu kerana boleh jadi ‘raya’ buat gabungan politik atau parti yang dalam mood boleh menang besar. Dan barangkali juga ‘raya sepi’ buat parti yang dimomokkan akan kalah besar.
Diikutkan di atas kertas, sebahagian besar orang membaca kelebihan berpihak kepada Perikatan Nasional (PN) untuk sapu bersih tiga negeri disandang mereka iaitu Kelantan, Terengganu dan Kedah. Cuma dakwa mereka ini, gabungan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM atau Bersatu), Pas dan Gerakan itu lebih bertumpu kepada baki tiga negeri lagi di bawah Pakatan Harapan (PH) di Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang. PH kini bersama Barisan Nasional (BN) di bawah kerajaan perpaduan.
Sentimen dikatakan membawa kelebihan kepada PN itu atas ‘congakan’ momentum sokongan Melayu telah mencetus kemenangan besar gabungan itu dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) pada 19 November tahun lalu. Kata mereka, ia belum berubah.
Namun seperti mana cakap-cakap kedai kopi, realitinya tidak ada data empirikal untuk analisis seperti ini. Kebanyakan orang boleh sahaja menjadi peramal, tetapi tidak semudah pengamal politik itu sendiri.
Sedangkan gelora politik di Malaysia hari ini amat dinamik. Pantas bergerak. BN yang menang besar PRN Johor 12 Mac 2022 pun belum terjamin kemenangan dalam PRU15. Tempohnya pun lapan bulan selisih dua pilihan raya itu, yang lebih kurang antara PRU15 dan enam PRN waktu terdekat ini Jun/Julai.
STRATEGI AKHIR
Pokoknya, hari ini mana-mana parti yang berusaha sehingga ke titisan keringat strategi terakhir untuk memenangi hati pengundi, parti itu akan berjaya. Tidak kiralah sama ada pasang billboard mega di penjuru lampu isyarat laluan puncak atau tepi lebuh raya utama dengan berkorban wang ringgit yang alang kepalang dana taruhannya, asalkan yang penting menang.
Tidak kiralah dengan mengumum dan melaksanakan perkara-perkara yang dikepinginkan rakyat – berupa tol percuma, cuti, diskaun saman – asalkan kategorinya “memahami denyutan hati rakyat”, mungkin berupaya menjana kemenangan. Tahu menggunakan kuasa di kala berkuasa.
Untuk menggapai kemenangan, segalanya bergantung kepada percaturan parti. PRU15 memberi iktibar amat berguna. Parti-parti politik perlu tetapkan piawaian tinggi untuk PRN ini. Faktor “sure menang” perlu serius diberi perhatian.
Trend dan tingkah laku pengundi berfikir cepat bertukar. Jika pemilihan calon pilihan raya menggunakan kaedah lama dan masih tidak berubah, jangan sampai nanti parti berisiko rebah.
Calon yang mempunyai persona dan karakter pasti menang. Kecualilah nasib tidak menyebelahi dan rezeki-Nya belum tiba lagi. Parti perlu mengambil sikap ‘ukur baju di badan sendiri’. Seseorang yang tidak berpotensi tinggi untuk menang tidak perlu terkejar-kejar melonjakkan diri untuk dipilih.
Yang menarik untuk ditonton dalam gelanggang enam PRN ini adalah keberanian mana-mana parti menampilkan bakat-bakat muda dengan daya kepimpinan yang segar dan dinamik. Ini relevan dalam landskap politik semasa yang dipengaruhi laman-laman sosial mengelilingi orang muda. Calon baharu dan muda walaupun tiada track-record untuk dinilai, boleh mencetuskan kebangkitan kesedaran politik era sekarang.
Apatah lagi setelah rakyat terpaksa melalui liku-liku kemelut ekonomi dan politik tidak berkesudahan, padahal beberapa kerajaan yang berkuasa tempoh hari itulah digantung harapan, menyebabkan terbit bibit-bibit hilang keyakinan. Dan menjelang PRN dilabelkan berupa ‘PRU16’, potensi kerajaan perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim sedang dinilai oleh pengundi.
PENGUNDI ‘RAJA’
Pengundi perlu membuktikan mereka adalah ‘raja’. Jika tersalah langkah dalam PRU, kali ini wajar anda berikan undi kepada parti yang dilihat layak memerintah. Jangan air yang dibekalkan masuk ke dalam rumah, untuk cuci pinggan basuh ikan, ayam macam ‘teh tarik’ pun masih lagi sanggup diberikan undi kepada parti atau si polan itu.
Lihat wajahnya, lalu lihat air mukanya. Ketahui perangainya. Bilang jasanya, ketahui budinya. Adakah dia hanya pemimpin semasa cuaca cerah, tapi ketika tengkujuh dia menghilang.
Ada mata, telinga, fikiran, maka buka luas-luas, dengar dan periksa dua tiga kali faktanya. Waspada akan politik Melayu dalam lima tahun kebelakangan ini yang bukan lagi soal betul salah. Tetapi soal siapa akan naik, siapa terpaksa atau perlu turun. Tidak terkejar ‘dinamiknya’ politik Melayu hari ini. Sejak Langkah Sheraton, dengan akuan bersumpah atau SD serta lompat parti habis huru-hara. Jadi cacamarba politik Melayu ini.
Yang teramat dibimbangkan, tiada lagi natijah bagi orang Melayu diserlahkan oleh parti Melayu. Isu-isu berkaitan bahasa, kedaulatan Raja-Raja Melayu, budaya, agama dan pendidikan dikhuatiri tidak lagi diangkat sebagai isu-isu survival bangsa. Dan dipandang sepi pula keazaman untuk agihan kepentingan ekonomi sekurang-kurangnya 30 peratus. Padahal ini harus dianggap hanya permulaan bagi Melayu dan Bumiputera.
Kejayaan tidak jatuh bergolek ke kaki dengan kita cuma perlu kutipnya sahaja. Itu angan-angan di siang hari. Enam PRN ini menjadi penentu – satu-satunya ruang dan peluang untuk rakyat memilih kerajaan negeri yang berwibawa, sekali gus momentum kepada kestabilan ekonomi dan kewangan negara.
Parti atau calon mana yang akan ‘lari di malam hari’ ditolak pengundi Jun atau Julai nanti? Yang dikejutkan oleh pukulan pengundi – sama ada tembelang mereka pecah atau masih banyak lagi kerja, ‘tidak sekadar pengumuman’, perlu dilakukan untuk kesejahteraan rakyat. – Mingguan Malaysia






