DATUK Seri Anwar Ibrahim ialah Perdana Menteri yang paling terbuka mengenai kebebasan akademik. Ketika Dialog Anak Muda – Temu Anwar pada 19 Mac lalu,
Anwar menyebut bahawa keputusan kerajaan perpaduan adalah untuk memberi kebebasan akademik.
Anwar juga memberi jaminan peruntukan dalam Akta Universiti Kolej Universiti (AUKU) 1971 yang menyekat kebebasan mahasiswa dan pensyarah akan dihapuskan.
Sebelumnya, Anwar ketika ditemui selepas majlis penyampaian bantuan pelajar antarabangsa oleh Tabung Pelajar Antarabangsa AbuSulayman (Aisf) di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) pada 11 Februari lalu mahukan Menteri Pendidikan Tinggi membuka ruang memberi pandangan supaya universiti lebih segar, termasuk untuk menegur dan mengkritik Perdana Menteri atau kerajaan perpaduan.
Anwar juga berkata, kekurangan minda kritikal dan kekurangan kefahaman hanya akan memberi kita ramai yang bersifat pengikut yang gagal menimbang situasi dan kurang berdaya kreatif.
Pada masa yang sama beliau mengingatkan bahawa teguran dan kritikan itu mestilah disertai dengan fakta serta tidak menghina mana-mana pihak atau menyentuh isu perkauman serta fahaman agama yang melampau.
Ironiknya, semalam, seolah-olah menyambut keterbukaan yang Anwar tunjukkan di UIAM pada 11 Februari itu, Rektor UIAM, Profesor Emeritus Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak, membuat teguran dan kritikan dalam akhbar Nexbyte melalui kolum mingguannya, UIAM Berhujah, yang menyentuh mengenai rombakan Kabinet kerajaan perpaduan yang diumumkan oleh Anwar pada 12 Disember.
Semua pihak seharusnya menyambut baik teguran dan kritikan oleh sarjana begini. Ia selaras dengan keterbukaan yang Anwar tunjukkan.
Penulisan, dialog dan perdebatan adalah dialu-alukan kerana ia adalah sebahagian daripada kebebasan akademik. Nexbyte juga wajar dipuji kerana keberaniannya menyiarkan tulisan kritikal begini kerana ini menjadi petanda bahawa kebebasan media subur di negara ini.
Walaupun begitu, tidak kurang yang merasa kecewa dengan tulisan Dzulkifli kerana ia mengandungi banyak pernyataan bombastik yang tidak disertakan dengan fakta atau sumber rujukan yang sahih menyebabkan hujah beliau ketiadaan nilai akademik yang tinggi yang sepatutnya ada pada seorang tokoh yang menerajui pengurusan sebuah universiti awam tempatan terkemuka yang bertaraf antarabangsa.
Antara kenyataan Dzulkifli yang kabur adalah tulisan beliau yang berbunyi “perasuah teman setia terus bersemi” atau “rasuah membentengi perpaduan” tanpa disertakan dengan perincian siapakah perasuah teman setia ini atau bagaimanakah rasuah dikatakan membentengi perpaduan.
Ini kerana tiada siapa pun dalam Kabinet kerajaan perpaduan yang telah dijatuhkan hukuman bersalah oleh mahkamah atas kesalahan rasuah.
Begitu juga dengan kenyataan Dzulkifli mengenai “ada yang alpa akan janji lama” atau “cakap tidak serupa bikin” yang tidak disertakan dengan perincian apakah janji yang tidak ditepati menyebabkan kenyataan ini sukar untuk dinilaikan.
Perlu diingati bahawa kerajaan perpaduan adalah dianggotai oleh 18 parti dalam beberapa gabungan politik berlainan dengan manifesto berlainan janji pastilah tidak semua janji boleh ditunaikan.
PREROGATIF
Sama juga halnya dengan kenyataan Dzulkifli bahawa keterkejutan menteri yang terlibat dalam rombakan Kabinet membayangkan tidak ada proses rujukan sama sekali bagi sebuah parti demokratik yang perlu dilihat dalam konteksnya.
Semua pihak mengakui bahawa rombakan Kabinet adalah prerogatif Perdana Menteri dan proses ini dinyatakan prosedurnya dalam perjanjian persefahaman kerjasama pada 16 Disember 2022.
Syarat-syarat yang perlu dipatuhi dalam membuat rombakan Kabinet ini antaranya ialah ia mestilah melalui perbincangan dengan ketua-ketua parti lain dan mendapat persetujuan majoriti ketua-ketua parti lain manakala agihan portfolio hendaklah berkadar dengan jumlah ahli Parlimen setiap parti.
Oleh itu, proses rujukan melibatkan ketua-ketua parti itu ada, tetapi adalah lazim untuk individu tidak mengetahui lantikan mereka.
Lebih tidak boleh diterima ialah pemberian kenyataan tanpa fakta seperti kenyataan Dzulkifli bahawa “negara bertambah miskin”.
Mengikut Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) yang dikeluarkan pada 10 Oktober lalu, hasil Kerajaan Persekutuan meningkat kepada RM294.36 bilion pada 2022 berbanding RM233.75 bilion pada 2021 dengan kutipan hasil cukai pada 2022 berjumlah RM208.77 bilion berbanding RM173.70 bilion pada 2021.
Menurut laporan Tinjauan Fiskal dan Anggaran Hasil Kerajaan Persekutuan 2024 yang dikeluarkan Kementerian Kewangan pada 13 Oktober pula, hasil Kerajaan Persekutuan pada 2024 dijangka meningkat menjadi RM307.6 bilion berbanding RM303.2 bilion pada 2023 didorong oleh pertumbuhan ekonomi yang kukuh berserta langkah yang diambil untuk meluaskan asas cukai serta menambah baik pematuhan dan ketelusan cukai.
Satu lagi kenyataan tanpa fakta yang dibuat oleh Dzulkifli ialah bahawa “natijah kepada semua ini, rakyat membenci”.
Berdasarkan kepada kaji selidik yang dibuat oleh badan kaji selidik mana, membabitkan berapa ramai responden dan bila kaji selidik ini dibuat langsung tidak dinyatakan sedangkan kenyataan yang bertanggungjawab akan memberikan perincian mengenai semua ini beserta peratusan yang membenci dan yang menyukai.
Tegasnya, di Malaysia Anwar dan kerajaan perpaduan sentiasa memberikan ruang yang luas kepada ahli akademik dan pelajar untuk menyuarakan pendapat mereka di bawah kebebasan akademik yang merangkumi kebebasan untuk menulis, mengeluarkan pandangan dan bersedia untuk dikritik dan mengkritik di dalam jalur dan rangkaian akademik. Ini penting bagi membolehkan idea-idea baharu yang memberi manfaat kepada rakyat terhasil.
Masa sama, kebebasan akademik ini tidak boleh digunakan secara semberono dan perlu digunakan secara berhati-hati.
Teguran dan kritikan haruslah bersifat membina serta disertakan dengan data dan fakta.
Lebih-lebih lagi ahli akademik yang merupakan penjawat awam yang perlu mempertahankan prinsip neutrality dan impartiality dalam perkhidmatan awam selaras dengan peruntukan Akta Badan-Badan Berkanun (Tatatertib dan Surcaj) 2000. – UTUSAN
DR. Hirwan Jasbir Jaafar ialah lulusan doktor falsafah dalam bidang undang-undang dari Universiti Utara Malaysia (UUM) merangkap Pensyarah Kanan di Universiti Malaysia Perlis (Unimap).






